Subsidi bahan api bersasar lepas PRU-15?
Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka melaksanakan mekanisme subsidi bahan api bersasar membabitkan rebat yang akan dikreditkan ke akaun bank dan e-dompet penerima yang layak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank (Maybank IB) Suhaimi Ilias berkata, mekanisme penyaluran rebat untuk subsidi bahan api bersasar itu dijangka tertakluk kepada had atau kuota ditetapkan.
“Mekanisme rebat ini sebagai pertukaran bagi pelarasan berkala secara berperingkat harga bahan api,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang ditulis bersama penganalisis, Dr Zamros Dzulkafli dan Fatin Nabila Mohd Zaini.
Maybank IB tidak menjangkakan peralihan kepada mekanisme harga bahan api terapung untuk petrol RON95 dan diesel seperti dilaksanakan bahan api tanpa subsidi RON97 dan diesel gred tinggi.
“Pergerakan drastik (apungan harga bahan api) akan menyebabkan inflasi besar kerana kami menjangkakan kadar inflasi bulanan atau tahun dengan mudah melonjak kepada sekitar 10 peratus jika kaedah apungan dilaksanakan untuk semua bahan api,” katanya.
Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan dalam tempoh mengkaji keberkesanan mekanisme subsidi bersasar bahan api sebelum pelaksanaan menyeluruh kepada rakyat bagi memastikan kelancaran penyalurannya.
Beliau berkata, masih tiada tarikh tepat pelaksanaan subsidi bersasar itu.
Namun kerajaan katanya, ingin melaksanakan mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat.
“Kajian dilaksanakan bagi bahan api kerana ia subsidi terbesar kerajaan dengan unjuran RM30 bilion daripada keseluruhan nilai subsidi bagi tahun ini iaitu RM70 bilion,” katanya.
Penganalisis berpandangan pelaksanaan subsidi bersasar bahan api wajar dimulakan dengan diesel memandangkan sumber itu paling banyak disalah guna berbanding petrol.
Mengulas lanjut, Maybank IB berkata, sistem subsidi bahan api bersasar dilaporkan sedang diuji dan di bawah program percubaan sejak Julai 2022 hingga akhir tahun ini.
Berdasarkan tempoh percubaan itu, katanya, ia mungkin dilaksanakan tahun depan selepas PRU-15 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023.
“Satu trivia yang menarik, kami juga mendapati Kertas Perundingan Awam (PCP) untuk Bajet 2023 lebih ‘berkaitan dengan perbelanjaan’, berbeza PCP untuk Bajet 2022 yang kebanyakannya cenderung ke arah ‘berkaitan hasil’,” katanya.
Sementara itu, bank pelaburan berkenaan berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi bahan api lebih rendah dengan Bajet 2023 akan menetapkan jangkaan purata harga minyak mentah sekitar AS$80 hingga AS$90 setong.
“Kami menjangkakan penurunan harga minyak mentah purata tahunan AS$10 setong yang akan menurunkan kos subsidi harga bahan api tahunan untuk petrol RON95 dan diesel RM6.1 bilion,” katanya.
Sebelum ini, penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research), Zafri Zulkeffeli dalam nota penyelidikan mendedahkan, rakyat perlu membayar harga bahan api lebih tinggi, dengan petrol RON95 dan diesel kedua-duanya melebihi RM4 seliter seandainya kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian subsidi secara pukal.
Ia adalah anggaran harga sebenar yang perlu dibayar berdasarkan harga minyak mentah Brent yang ketika ini melebihi AS$100 setong.
Sebagai contoh, beliau berkata, harga purata ialah RON95 RM4.77 seliter berdasarkan harga minyak mentah Brent AS$122.80 setong bulan lalu.
Unjuran MIDF Research itu adalah untuk harga minyak mentah Brent iaitu AS$112.49 setong untuk 2022 dan AS$120.30 setong pada 2023.
Menurutnya, di bawah mekanisme pasaran terapung, RON95 dan diesel masing-masing akan berada pada harga RM4.37 dan RM4.67 setiap liter.
METRO