Terima rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang membimbangkan

KUALA LUMPUR – Menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam membimbangkan di Pulau Pinang, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

“Banyak kesalahan yang dilakukan dan kesalahan rasuah yang menjadi pilihan lazimnya melibatkan dua kesalahan iaitu penerimaan suapan dan salah guna kuasa.



“Kami terima sebanyak 312 maklumat kes penerimaan suapan dan 147 maklumat kes salah guna kuasa di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemu bual dalam program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang hari ini.

Azam berkata, perkara itu membimbangkan kerana ia melibatkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada kaum keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah.

Menurut Azam, kesalahan membuat tuntutan palsu untuk sesuatu kerja yang dilaksanakan juga banyak berlaku di Pulau Pinang.

Sebagai contoh, individu yang kononnya melaksanakan sesuatu pekerjaan dan dia membuat tuntutan palsu (untuk kerja yang dilaksanakan) seolah-olah dia yang buat kerja itu, ia banyak berlaku dan amat merugikan.



“Saban hari ia semakin meningkat, saya minta semua ketua jabatan untuk memantau pegawai mereka yang diberikan kuasa dalam memutuskan sesuatu keputusan dan dari segi tadbir urus,” katanya.

Menurut Azam, penjawat awam merupakan kumpulan sasar pertama SPRM (pantau dan siasat) kerana mereka nadi pentadbiran kepada sesuatu negeri dan dalam negara ini.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain,” katanya.

© Sinar Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button