Zul Ariffin didenda RM30,000

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan memuatnaik kandungan bersifat sumbang.

SEPANG – Pelakon popular, Zul Ariffin, 36, didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Zul yang menggunakan akaun Instagram @zul_ariffin secara sedar membuat dan memulakan penghantaran video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.



Video berkenaan kemudian mendapat reaksi pasukan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Mac lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Timbalan Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin, manakala Zul Ariffin diwakili peguam, P Sivaran dan M Saresh.

Pada prosiding yang dijalankan, Saresh memohon agar anak guamnya diberikan hukuman yang minimum memandangkan pelakon itu menanggung dua ahli keluarga iaitu bapa berusia 74 tahun serta seorang kakak berusia 48 tahun selain kesalahan ini adalah kali pertama dilakukan.



Menurut Saresh, anak guam juga sudah mengaku bersalah selain berasa kesal dengan tindakan memuat naik video berkenaan dan insiden itu secara langsung memberi kesan mental kepada diri anak guam serta keluarganya.

Selain itu, katanya, anak guamnya adalah seorang pelakon yang banyak menyumbang kepada industri seni tanah air selain memenangi beberapa anugerah.

Bagaimanapun, Fazril Sani dalam hujahannya meminta tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama selain mencerminkan ketelusan parlimen dan undang-undang dalam menguat kuasakan Seksyen 233 AKMM 1998.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas Zul atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.



Bagaimanapun, Zul menjelaskan denda seperti yang ditetapkan pihak mahkamah, hari ini.

Terdahulu, Zul yang memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka itu tiba pada jam 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire dengan diiringi ahli keluarga, dua peguam dan rakan penerbit, Gayatri Su-lin Pillai.

Pelakon itu menimbulkan kontroversi apabila berkongsi video babak panas bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri di Instagram, baru-baru ini.

Tindakan Zul memuat naik ‘teaser’ sebuah drama bersiri itu mengundang kecaman warga maya selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.



Annuar dalam kenyataan di Twitter memaklumkan pelakon itu akan disiasat mengikut Seksyen 233,Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat ‘posting’ di media sosial yang menyalahi undang-undang.

Berikutan itu, pelakon filem Sangkar itu bertindak memadam video berkenaan selain tampil membuat permohonan maaf di Instagram Story.

© Harian Metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button