Digigit kemaluan hanya kerana…
Abuja: Hanya kerana dituduh mencuri barangan bernilai kurang daripada RM5, seorang lelaki dihukum kejam dengan kemaluannya digigit dan dibelasah teruk di hadapan orang ramai.
Video insiden itu tular selepas dikongsi di Twitter oleh Parti Marxist Nigeria, yang mendakwa kejadian itu berlaku di Semenanjung Bakassi, Nigeria.
Menurut dakwaan, lelaki itu dituduh mencuri barangan bernilai kurang satu dolar (RM4.65) sebelum hukuman itu dilakukan mengikut ‘jungle justice’.
Rakaman video memaparkan, seorang daripada kumpulan orang ramai itu tiba-tiba melutut di sebelah lelaki yang sudah dibogelkan itu sebelum menggigit kemaluannya.
Penderitaan lelaki itu tidak terhenti setakat itu apabila orang ramai merejamnya hingga menyebabkan dia tidak berdaya.
Sejurus selepas penyerang yang tidak berperasaan itu memperlakukan mangsa dengan aib dan kejam, segelintir daripada mereka menghempas batu besar terhadap lelaki.
Video itu membimbangkan netizen kerana tindakan penyerang itu keterlaluan, malah Parti Marxist Nigeria turut menggesa hukuman dikatakan ‘jungle justice’ diharamkan.
“Inilah sebabnya kita harus mengharamkan ‘jungle justice’. Hanya kerana mencuri sesuatu yang kurang daripada satu dolar, kemaluannya digigit,” katanya dalam Twitter.
“Tolonglah ini sangat jahat dan biadab. Pelakunya harus dihadapkan dengan hukum berat,” komen seorang netizen, Lugard Ekhator.
Seorang ahli politik Nigeria, Dakuku Peterside berkata negaranya sedang mengalami ‘wabak’ ‘jungle justice’ iaitu melakukan pembunuhan di luar undang-undang.
Katanya, seorang penjenayah yang didakwa dimalukan secara terbuka, dipukul dan kemudian dihukum bunuh oleh kumpulan orang ramai yang marah.
Ahad lalu, polis di Lagos State juga mengesahkan, kumpulan penunjuk perasaan menjalankan ‘jungle justice’ ke atas dua lelaki yang didakwa merompak seorang juruwang di kawasan Igando.
Orang ramai membakar mangsa sehingga tidak dapat dikenali.
METRO