Chelsea atasi AC Milan, terus hidupkan peluang
LONDON: Graham Potter mengakui kemenangan 3-0 Chelsea berdepan AC Milan “amat penting” ketika mereka kembali merebut tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Skuad kendalian Potter menang kali pertama dalam tiga aksi Kumpulan E menerusi gol pertama Wesley Fofana buat Chelsea diikuti jaringan babak kedua Pierre-Emerick Aubameyang dan Reece James di Stamford Bridge.
Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kekalahan memalukan di Dinamo Zagreb sehari sebelum Thomas Tuchel dipecat manakala perlawanan sulung Potter berakhir dengan seri di Salzburg.
Namun pasukan tangga kedua, Chelsea kini sama empat mata dengan Milan menjelang kunjungan penting ke San Siro bagi berdepan juara Itali itu pada 11 Oktober.
Menerusi tiga baki perlawaan untuk setiap pasukan, pendahulu, Salzburg kini satu mata di atas Chelsea selepas menewaskan Dinamo Zagreb 1-0.
“Ia malam yang bagus. Kami perlu bermain baik. Perwatakan pemain menakjubkan. Personaliti mereka bagus,” kata Potter.
“Adalah amat penting untuk menang tetapi perjalanan masih panjang dalam kejohanan ini.”
Kemaraan dalam Liga Juara-Juara penting buat Potter bagi mengukuhkan personaliti dalam skuad mahal dikumpulkan pemilik baharu Chelsea yang pastinya mengharapkan kejayaan segera.
Ketika Chelsea masih perlu bertarung untuk mara ke pusingan kalah mati, Potter mendapat galakan hasil persembahan paling dinamik dalam tiga perlawanan dilaluinya selepas menggantikan Tuchel.
“Pemain sangat terbuka, bertanggungjawab dan menakjubkan untuk bekerja dengan mereka. Mereka sedar tidak berada pada tahap itu (ketika dia menyertai pasukan). Itu adalah hebat daripada sudut pandangan jurulatih,” kata Potter.
Pengurus Milan, Stefano Pioli menambah: “Kami tidak cukup bahaya, kami perlu memberi pujian kepada lawan, tapi ia juga kerana kami.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan mencabar tetapi secara mentalnya kami tidak bermain sebagai sebuah pasukan.”
AFP