Siapalah tahu derita mereka.

Petaling Jaya: Meskipun tiada pertalian darah dan hanya diikat dengan tali persahabatan sejak tiga tahun lalu, hubungan dua sahabat baik ini sangat erat hingga berkorban masa dan saling menjaga antara satu sama lain.

Wan Marziah Mohd Rejab, 40, dan Siti Khodijah Mohd Rashid, 30, masing-masing mempunyai cerita sendiri apabila Wan Marziah diuji dengan kanser dinding rahim tahap empat pada Januari lalu dan kini menjalani rawatan paliatif.

Manakala, Siti Khodijah atau mesra disapa Kay pula didiagnos major depressive disorder dan panic disorder pada Mei lalu.



Kay kini tinggal bersama Wan Marziah dan keluarganya untuk membantu menjaga wanita itu termasuk urusan rawatannya dan sahabatnya itu juga akan menemaninya membuat pemeriksaan.

Kisah mereka mendapat perhatian di aplikasi TikTok selepas memuat naik video aktiviti harian dan perkembangan kesihatan Wan Marziah, malah warganet turut mendoakan kesihatan serta memberi sokongan kepada dua sahabat itu untuk terus kuat melawan penyakit masing-masing.

Berkongsi cerita, Kay berkata, dia tidak pernah terbeban atau geli membantu menguruskan Wan Marziah yang mesra disapa Kak Long terutama ketika membersihkan lampin pakai buang wanita itu setiap kali selesai menjalani kimoterapi.

Menurutnya, dia percaya jika dia yang sakit, Kak Long juga akan menjaganya, malah masa sukar ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu dan diuji sakit sebelum ini wanita itu yang membantunya.



“Kami bersahabat sejak 2019 ketika itu kami tinggal serumah dan ketika pandemik lalu saya terpaksa berhenti kerja sebagai jurulatih kecergasan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadinya saya dan Kak Long berniaga macam-macam untuk kelangsungan hidup.

“Kami melalui saat susah senang bersama, malah Kak Long juga banyak bantu dan sokong saya termasuk dalam proses untuk pulih. Jadi apabila Kak Long sakit saya tak mahu tinggalkan dia,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Wan Marziah di Pangsapuri Damai, Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Mengenai penyakitnya, Kay mengakui sakitnya sudah lama tetapi baharu berjumpa pakar dan ia berpunca daripada trauma masa lalu serta kini dalam rawatan, pemeriksaan susulan dan ia juga semakin baik dengan pengambilan ubat.

“Dalam situasi sekarang kami saling membantu apabila saya menjaga Kak Long termasuk ketika dia pergi ke hospital, manakala Kak Long pula akan menemani saya membuat pemeriksaan. Saya sudah anggap Kak Long macam adik-beradik dan akan terus menjaganya,” katanya.



Sementara itu, Wan Marziah berkata, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan pada Januari lalu iaitu selepas lima bulan mengadu sakit di abdomen dan pundi kencing selain kerap demam serta berlaku pendarahan tidak berhenti di faraj.

Katanya, dia kemudiannya dikesan mempunyai ketumbuhan di perut dan disahkan kanser tahap 3B selepas pemeriksaan serta ujian sampel tisu.

“Tumor itu kemudiannya pecah dan terpaksa buat pembedahan kecemasan. Dalam masa dua bulan kanser merebak dan doktor beritahu sel kanser itu jenis agresif serta ia sudah tahap empat.

“Kanser berulang dan merebak ke organ lain iaitu hati, usus, abdominal lymph nodes dan pundi kencing. Doktor juga maklumkan peluang untuk sembuh sangat tipis dan kini menjalani rawatan kimoterapi paliatif sejak Julai lalu,” katanya yang sebelum ini berkerja dalam pengurusan korporat dan diberhentikan ketika pandemik lalu.



Dia yang kini menjalani rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) berkata, ibunya, Arifatul Fauziah Kamaruddin, 64, mengajaknya tinggal bersama selepas sakit.

Katanya, dia terharu apabila Kay mahu mengikut dan menjaganya sepenuh masanya kerana sebelum ini baginya dia membantu sahabatnya itu ikhlas dan tidak mengharapkan balasan kerana mereka bersahabat kerana Allah SWT.

“Walaupun berstatus paliatif dan peluang sembuh sangat tipis tetapi saya tetap menguatkan semangat dan percaya dengan takdir Allah SWT.

“Sebab itu saya anggap penstriman langsung di TikTok sebagai terapi untuk kami berdua sekali gus dapat berkongsi cerita, pengalaman dan maklumat mengenai penyakit kami.



“Lebih-lebih lagi penyakit saya ini jarang berlaku pada individu di usia muda dan biasanya berlaku kepada orang yang sudah menopaus,” katanya sambil memaklumkan mereka kini mengambil komisyen menjual barang di TikTok.

Dalam pada itu, Arifatul Fauziah berkata, dia juga terharu dengan pengorbanan Siti Khodijah yang sanggup menjaga anak sulungnya itu sepenuh masa kerana dia dan suami, Mohd Rejab Ahmad, 75, juga kurang sihat dan tidak boleh memandu jauh untuk menguruskan rawatan Wan Marziah.

“Saya memang sayang Kay macam anak sendiri dan dia banyak membantu kami menguruskan Kak Long. Anak yang lain juga membantu tetapi mereka juga ada kekangan kerja jadi bila ada Kay memang kami bersyukur,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button