Tatar Crimea – Kisah etnik Islam Eropah yang dilupakan
KUALA LUMPUR, 18 Mei — Hari ini 18 Mei, etnik Tatar Crimea di seluruh dunia memperingati tragedi pengusiran oleh pemimpin Soviet ketika itu, Joseph Stalin terhadap nenek moyang mereka, peristiwa paling tragis dalam sejarah abad ke-20, kata Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Pada tarikh itu, susulan arahan Jawatankuasa Pertahanan Kerajaan USSR yang diluluskan Joseph Stalin, pegawai NKVD (KGB) menjalankan operasi mengusir seluruh etnik itu ke wilayah terpencil di Asia Tengah.
Malam hari kejadian menyaksikan kira-kira 250,000 orang termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak dipaksa menaiki kenderaan, bersesak-sesak dalam ‘boxcars’.
Seramai 7,900 orang tidak berjaya sampai ke destinasi akibat keadaan persekitaran yang teruk, kekurangan bekalan asas dan jangkitan penyakit.
Tatar – orang asli Crimea – semenanjung yang dikelilingi Laut Hitam dan Laut Azov di Ukraine, ramai tidak mengetahui kewujudannya. Namun, ia sebuah negara Islam paling kuno di Eropah.
Ia terdiri pelbagai kumpulan etnik antaranya Tauri, Scythians, Sarmatians, Alans, Greeks, Goths, Roman, Khazars, Pechenegs, Italia, Circassians dan Turks.
“Kini terdapat lebih lima juta orang Tatar Crimea, kebanyakannya tinggal di Ukraine, Turki dan Asia Tengah,” menurut kenyataan itu.
Sejak kemerdekaan Ukraine pada 1991, majoriti etnik itu kembali semula, kini mereka merangkumi 12 peratus keseluruhan populasi di Crimea.
Pada 12 Disember 2015, Parlimen Ukraine meluluskan resolusi yang mengiktiraf pengusiran 1944 sebagai pembunuhan beramai-ramai dan mengisytiharkan 18 Mei sebagai hari untuk memperingati mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.
Tarikh 18 Mei 1944 akan terus dikenang dalam lipatan sejarah yang menyaksikan kekejaman rejim Soviet.
— BERNAMA