250 ekor paus ditemui mati terdampar

WELLINGTON – Sebanyak 250 ekor paus pilot ditemui mati terdampar di tepi pantai sebuah pulau terpencil di New Zealand lapor laman berita Wion News kelmarin.

Insiden di Kepulauan Chatham itu berlaku beberapa minggu selepas lebih 200 ekor paus pilot mati terdampar di pantai barat Pulau Tasmania, Australia.

Jabatan Pemuliharaan New Zealand berkata, paus-paus tersebut terdampar di barat laut Pulau Chatham dengan kesemua mamalia itu telah mati.



Ikan paus yang masih hidup ketika ditemui, turut dimatikan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.

“Semua paus pilot yang terdampar kini telah mati dan bangkai haiwan-haiwan itu akan dibiarkan mereput secara semula jadi di kawasan tersebut.

“Kami tidak secara aktif mengapungkan semula paus-paus di Kepulauan Chatham disebabkan risiko serangan jerung terhadap manusia dan paus itu sendiri,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan jabatan tersebut.

Kepulauan Chatham menempatkan kurang 800 penduduk dan terletak hampir 840 kilometer ke timur tanah besar New Zealand, sekali gus menjadikan operasi menyelamat sebagai amat sukar untuk dilakukan.



“Kepulauan Chatham adalah tempat yang mencabar untuk bantuan bagi insiden seperti ini kerana ia dikenali sebagai lokasi lubuk jerung putih besar, pantai terpencil dan populasi penduduk kurang daripada 800 orang.

“Kejadian paus terdampar seperti ini amat menyedihkan. Ketika kita berharap agar haiwan yang selamat dapat diapungkan semula, pilihan itu tidak dapat dilakukan di sini,” kata sebuah pertubuhan kebajikan menyelamat mamalia marin, Project Jonah.

Pada 1918, lebih 1,000 ekor paus pilot ditemui terdampar di Kepulauan Chatham yang sehingga kini menjadi rekod terbanyak pernah dicatatkan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button