Rumah Sardin

Kuala Lumpur: Terpaksa melupakan keselesaan hidup apabila menyewa rumah secara beramai-ramai untuk mengurangkan beban sewa bulanan sepanjang tempoh pengajian.

Malah, ada antara penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini terpaksa ‘melanggar’ kontrak sewa rumah yang menetapkan syarat hanya boleh menempatkan empat hingga lima penyewa sahaja akibat keadaan yang mendesak.

Itu situasi dihadapi penuntut IPTA di Lembah Klang dan Selangor apabila gagal mendapatkan penempatan kolej yang disediakan tempat pengajian masing-masing.



Pelajar semester akhir sebuah IPTA yang mahu dikenali sebagai Aishah, 25, berkata dia bersama lapan penuntut lain terpaksa melanggar arahan pemilik rumah apabila hanya membenarkan kurang lima penyewa untuk rumah studio yang disewakan RM1,700 sebulan.

Menurutnya, rumah dua bilik itu sememangnya tidak selesa untuk sembilan penyewa sehingga dua penghuni terpaksa tidur di ruang tamu dengan beralaskan toto, tetapi akan bergilir-gilir tidur di dalam bilik.

“Kami terpaksa cari lebih ramai rakan untuk meringankan beban sewa bulanan dan sekarang kami bayar RM168 seorang termasuk bil utiliti. Kalau hanya empat sahaja menyewa, kami memang tak mampu.

“Bukan semua orang senang dan saya sendiri duit sewa bulanan ayah yang bayar…jadi memang tak mahu cari yang mahal kerana tidak mahu susahkannya.



“Memang tak selesa sebenarnya duduk ramai-ramai. Bilik utama menempatkan empat hingga lima orang dengan ada satu katil manakala bilik kedua pula lebih kecil hanya untuk dua orang dengan ada satu katil dua tingkat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, disebabkan keadaan sesak itu, mereka terpaksa meletak barangan termasuk beg pakaian dan keperluan belajar di ruang tamu kerana ruang dalam bilik terhad kerana dipenuhi dengan barang lain.

Penuntut lain yang mahu dikenali sebagai Anita, 23, berkata, jika ada pilihan dia mahu tinggal di penempatan asrama yang disediakan pihak IPTA kerana terbeban dengan kos sewa yang mahal jika menyewa rumah.

Katanya, dia sudah membuat permohonan kolej kediaman termasuk membuat rayuan namun tetap gagal mendapatkan tempat dan terpaksa akur menyewa rumah kedai tiga bilik bersama lapan penyewa lain dengan sewa bulanan RM1,980.



“Setiap bilik hanya boleh memuatkan dua katil dua tingkat dan almari sahaja, itu pun sudah sempit sehingga terpaksa meletakkan barang termasuk ampaian baju di ruang tamu.

“Waktu siang tak rasa sesak sangat sebab ramai pergi kelas dan bekerja, tetapi bila malam memang rasa sempit dan ‘serabut’ sangat keadaan rumah ini.

“Tetapi kami memang tiada pilihan lain dan terpaksa tinggal juga di rumah ini kerana paling hampir dengan universiti. Kami sedang mencari lagi tiga penyewa untuk mencukupkan kuota 12 penyewa dan berharap selepas ini sewa dikurangkan lagi,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun dua dikenali sebagai Asyraf, 20, berkata, dia bersama enam rakan menyewa di flat kos rendah di ibu kota dengan sewa RM1,000 dan setiap seorang perlu membayar RM160 sebulan termasuk bil utiliti.



“Sebelum ini kami menyewa lima sahaja, tetapi kos bulanan tinggi dan terpaksa menambah dua lagi rakan supaya sewa bulanan lebih rendah memandangkan kos sara hidup di ibu kota tinggi ditambah lagi perlu memikirkan kos pengangkutan ke kelas juga.

“Rumah flat tidaklah besar mana dan kami bertujuh memang rasa tidak selesa serta serabut ditambah pula dengan banyak barang-barang.

“Malah, kami berkongsi bilik air, tetapi nak cari rumah yang lebih besar dan ada lebih dari satu bilik air… kami tak mampu nak bayar,” katanya.

Portal dah ada, sambutan pemilik rumah hambar



Masalah kesukaran penuntut mendapat penempatan kolej kediaman di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang dan Selangor sudah menjadi ‘isu tahunan’ setiap kali sesi pengajian baharu bermula.

Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, isu penempatan kolej kediaman timbul atas pelbagai faktor termasuk amat terhad untuk menampung jumlah penuntut sesebuah universiti itu.

Menurutnya, satu portal rumah sewa siswa yang diwujudkan bagi membantu penuntut mencari rumah sewa adalah pelaksanaan terbaik yang dilakukan oleh pihak IPTA dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menangani isu itu.

“Portal ini membantu pelajar khusus mencari rumah sewa di kawasan masing-masing, tetapi kita lihat ia kurang mendapat sambutan pemilik rumah kerana mungkin ada kekangan daripada aspek prosedur yang perlu dilalui mereka.



“Apabila iklan rumah sewa terhad di portal itu menyebabkan penuntut mencari di luar, sekali gus menyukarkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, justeru pihak berkenaan dan pemilik rumah sewa boleh terus bekerjasama dengan lebih erat untuk mencari satu mekanisme terbaik supaya ada jalan penyelesaian terbaik.

“Kita melihat ada beberapa IPTA lain yang ada inisiatif seperti menyewa kawasan perumahan atau bangunan untuk dijadikan kolej kediaman dan kita lihat usaha seperti ini boleh diperluaskan lagi.

“Mengenai harga sewa bulanan, ia di luar bidang kuasa mereka tetapi mungkin pihak IPTA dan pemilik rumah boleh bekerjasama atau IPTA boleh melihat usaha lain seperti bantuan bank makanan untuk penuntut yang menyewa di luar supaya dapat meringankan kos sara hidup mereka.

“Dalam masa sama, penuntut perlu bersedia berhadapan isu itu terutama ketika kemasukan penuntut baharu yang mendapat keutamaan untuk masuk kolej kediaman,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang meneliti dan berusaha mencari jalan penyelesaian berhubung isu kesukaran penuntut mendapat penempatan yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

UiTM dalam kenyataan berkata, sebuah Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa turut dibentuk untuk mencari resolusi terbaik bagi membantu penuntut yang sukar mendapatkan rumah sewa bersesuaian.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button