Bomba ambil masa lebih tiga jam padam kebakaran rumah, kilang
GEORGE TOWN, 21 Mei — Pasukan bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk memadam kebakaran dua buah rumah dan sebuah kilang membuat peralatan sembahyang Cina di Jalan Paya Terubong-Bandar Baru Ayer Itam di sini hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Tarmizi Md Jaafar berkata dalam insiden pada 1.40 tengah hari itu, empat motosikal turut musnah namun tiada mangsa yang cedera atau meninggal dunia.
“Jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada kira-kira 1.50 tengah hari dan ketika itu, api sedang marak. Pihak bomba menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan tersebut kerana keadaan jalan serta rumah dan kilang yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 3.10 petang namun sehingga 5.30 petang, kerja-kerja memadamkan api masih dijalankan kerana terdapat banyak longgokan peralatan sembahyang yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar seperti colok dan kertas,”katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menggunakan jentera pengorek untuk kerja-kerja mengorek dan memadam kebakaran.
Mohd Tarmizi berkata sejumlah 50 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Jalan Perak dan Bayan Baru terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dengan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela.
Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Lim Teik Soo, 72, berkata dia dan isterinya berada di rumah ketika kejadian sebelum terdengar jiran-jiran menjerit memaklumkan bahawa terdapat kebakaran di kawasan kediaman mereka.
Beliau kemudian keluar dari rumah dan mendapati rumah jiran mereka telah terbakar sebelum menjerit memanggil isterinya untuk menyelamatkan diri namun pasangan itu tidak sempat menyelamatkan apa-apa.
“Api merebak sangat cepat, bila kami keluar dari rumah, api sudah sampai bahagian belakang rumah saya.
“Nasib sempat selamatkan diri, kalau tak, tak tahulah apa akan jadi pada saya dan isteri,” kata warga emas itu sambil memaklumkan bahawa dia akan menumpang rumah anaknya buat sementara waktu.
— BERNAMA