Benzema pemenang tertua Ballon d’Or

PARIS: Karim Benzema berkata, cita-citanya semakin tinggi selepas berusia 30 tahun dan penyerang Real Madrid serta Perancis itu menghadiahkan Ballon d’Or yang dimenanginya kepada peminat.

Benzema, yang akan mencecah usia 35 tahun Disember ini, sehari selepas final Piala Dunia, hanya lima bulan lebih tua berbanding Lionel Messi ketika bintang Argentina itu memenangi anugerah berkenaan buat kali ketujuh tahun lalu.

Kini dia adalah pemenang tertua sejak bintang England, Stanley Matthews memenangi Ballon d’Or pertama pada tahun 1956.



“Memenangi trofi ini sentiasa menjadi idaman saya tetapi apa yang berubah sejak usia saya mencecah 30 ialah cita-cita.

“Cita-cita menjadi sasaran utama saya selepas itu. Cita-cita bermakna bekerja lebih keras dan menjadi pemimpin kepada pasukan saya dan saya bertuah dapat bermain untuk Madrid, kelab terbaik di dunia.

“Ketika berusia 21, atau 22, saya tidak mempunyai cita-cita seperti hari ini,” kata Benzema selepas menerima anugerah berkenaan di Chatelet Theatre di Paris.

Benzema hanya berusia 21 tahun ketika menyertai Real Madrid dari Lyon pada tahun 2009. Dia berusia 30 tahun ketika Cristiano Ronaldo meninggalkan kelab itu pada tahun 2018.



Dia memenangi anugerah itu selepas meledak 44 gol dalam 46 perlawanan musim lalu di mana Madrid menjuarai Liga Juara-Juara Eropah serta La Liga.

Dia turut memenangi Liga Negara-Negara UEFA bersama Perancis, melengkapkan kebangkitan kariernya sebagai pemain kebangsaan selepas dipinggirkan lebih lima tahun susulan skandal peras ugut membabitkan rakan sepasukan, Mathieu Valbuena.

Benzema menewaskan Sadio Mane, Kevin De Bruyne dan Robert Lewandowski untuk anugerah berkenaan.

Kini dia mensasarkan trofi Piala Dunia bersama Perancis akhir tahun ini selepas tidak terbabit ketika negaranya menang di Russia pada tahun 2018.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button