Pasir Salak bakal buat kejutan besar
Bakal calonkan 2 Wanita Umno
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Parlimen P073 Pasir Salak dijangkakan akan membuat kejutan besar pada PRU15 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dikatakan dua wakil Wanita Umno akan bertanding masing-masing di Parlimen Pasir Salak dan DUN Kg Gajah.
Penyandang kerusi Pasir Salak, Tajuddin Rahman dikatakan telah merestui dua nama tersebut bagi mewakili Pasir Salak.
Nama Datin Sri Rahayu bt Tajuddin dan Datuk Dr Wan Norashikin bt Wan Noordin dikatakan bakal menjadi calon.
Datin Sri Rahayu Tajuddin merupakan Setiausaha Umno Bahagian Pasir Salak dan anak kepada Datuk Seri Tajuddin Rahman.
Manakala Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin pula merupakan Ketua Wanita Umno Perak.
Difahamkan Rahayu akan mengambil alih tempat Tajuddin sebagai calon Ahli Parlimen manakala Norashikin sebagai calon ADUN Kg Gajah.
Rekod Tajuddin di Pasir Salak bermula pada 2008 selepas menewaskan Mustaffa Kamil Ayub dari PKR dengan majorirti 2,688.
Pada PRU13, Tajuddin sekali lagi tampil menewaskan calon yang sama dengan peningkatan majoriti sebanyak 7,386.
Dalam pertarungan PRU14, Tajuddin mengekalkan rekod kemenangan beliau selepas mengalahkan calon Pakatan Harapan dan calon PAS dengan majoriti 7,712.
RekodĀ pengundi Pasir Salak yang dicatatkan bagi tahun 2022 pula ialah seramai 74,754 orang.
Pada 2018, pengundi Melayu menguasai kedudukan dengan 83.11%, Cina 10.86%, India 3.49% dan lain-lain hanya sebanyak 3%.
Sekiranya kedua nama tersebut dicalonkan, Umno Perak khususnya Umno Pasir Salak akan mencatat sejarah dua calon wanita ditampilkan dalam 1 Parlimen.
Pasir Salak merupakan antara kawasan Ikon Kebangkitan penentangan orang Melayu terhadap British dan sangat terkenal dengan kisah Dato Maharaja Lela.