`Lupakan kontroversi, fokus Piala Dunia Qatar’
PARIS: Wira Piala Dunia Perancis, Zinedine Zidane berkata `sudah tiba masanya untuk melupakan kontroversi dan sebaliknya fokus terhadap bola sepak’ menjelang Piala Dunia Qatar 2022 susulan ada pihak meminta temasya itu diboikot.
“Saya harap Perancis mengharungi kejohanan yang hebat tetapi saya belum tahu jika saya akan ke Qatar,” kata Zidane, 50, ketika menghadiri majlis memperkenalkan patung lilinnya di Musee Gravin di sini, semalam.
Ketika ditanya berkenaan Piala Dunia, bekas pengendali Real Madrid itu berkata tumpuan utama kini adalah untuk peminat yang hanya mahu menonton bola sepak.
Qatar terpalit kontroversi sejak diumumkan sebagai tuan rumah dan ramai yang cuba memulau kejohanan itu susulan layanan negara itu terhadap pekerja asing.
“Tidak kira apa yang mereka kata, ia tidak pernah cukup, atau benar atau tepat untuk diperkatakan,” katanya.
Zidane, yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 1998 di laman sendiri, menyokong Qatar dalam membida kejohanan itu sebagai tuan rumah.
Ketika negara Teluk itu diumumkan sebagai tuan rumah oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 2010, Zidane berkata dia ‘amat gembira’ dengan keputusan itu.
AFP