Janji ‘bulan bintang’ tetapi ‘hancing’
MAHU menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tetapi menghina calon, kepercayaan atau bangsa lain.
Pada masa sama, pelbagai janji turut ditabur walaupun janji PRU lalu masih banyak tidak tertunai.
Apakah ini semua? Sepatutnya, calon bertanding perlu jadi lebih matang, bersama-sama mahu bina negara dan bukannya menghina sesama sendiri, malah lebih teruk, cuba mengheret masyarakat untuk turut serta.
Suasana tidak harmoni seperti ini boleh mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan pengundi, khasnya pengundi muda.
Bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung suasana ini, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN, mewawancara Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) MUJIBU ABD MUIS.
Kempen berbaur agama, bangsa, tikam peribadi calon malah keluarga, jadi ‘pilihan’ untuk naikkan rating parti. Adakah ia wajar?
Sudah tentu tidak wajar, jika berkempen, ia menyentuh soal bangsa, agama, pembunuhan karakter calon, ia sama sekali tidak wajar berlaku ketika ini.
Ini kerana ketika PRU, ia seharusnya tertumpu kepada idea untuk menambah baik kehidupan rakyat, pembangunan dan segala idea baharu untuk memberi kemakmuran kepada rakyat serta merancakkan ekonomi.
Tindakan seperti memainkan isu sensitif serta pembunuhan karakter calon ini adalah satu budaya politik yang tidak lagi boleh diamalkan.
Kita bukan cakap tak boleh, cuma jangan keterlaluan kerana ia tidak mencerminkan suatu budaya yang baik jika ramai dalam kalangan ahli politik atau calon yang bertanding memainkan perkara berkenaan.
Kempen ini tentang idea, bukan mahu serang sesiapa, bukan mahu troll orang lain dan dijadikan bahan lawak jenaka atau ‘lelucon’ semata-mata mahu menghangatkan suhu politik.
Saya amat percaya, orang kita sudah sangat pintar, rasional dan mereka mempunyai akses maklumat yang tinggi, sudah pasti, ramai dalam kalangan kita yang muak, mual dan rasa jelik dengan perbuatan itu.
Ramai gemar mendengar ‘kisah meloyakan’ pada kempen pilihan raya berbanding perkara positif seperti usaha meningkatkan taraf ekonomi?
Menabur janji oleh orang politik ini sudah menjadi rencah yang sebati.
Ia umpama arena bolasepak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, dua karakter itu pasti akan menggelecek bola, sama jugalah seperti orang politik dengan janjinya.
Saya lihat pengundi kita ini sudah cukup bijak, keterbukaan mereka sudah berada pada tahap tertinggi iaitu mereka sudah pun melakukan perubahan pada PRU lalu iaitu Parti A jadi pembangkang dan Parti B jadi kerajaan.
Pengundi kita juga sudah mengetahui parti atau blok komponen parti yang mana mampu untuk melunaskan janji PRU dan ini semua disumbangkan oleh keterbukaan maklumat dan rangkuman informasi yang banyak.
Orang ramai pada hari ini juga sudah sangat matang dalam politik, walaupun mereka politically inactive, tetapi mereka sangat tahu tentang berita, maklumat dan segala janji orang politik ini.
Ia sekali gus memberi cerminan bahawa pengundi kita sudah sedar mana satu janji kayangan dan mimpi, mana satu janji yang mampu untuk direalisasikan.
Oleh itu, menjadi harapan peribadi saya serta mungkin orang awam yang lain untuk menantikan kempen manifesto dan hujah yang bernas daripada parti bertanding, cukup-cukuplah dengan caci maki dan semua itu.
Ketika ini, taburan janji ‘umpama hujan’ sudah mula dilaungkan. Bagaimana mahu menapis janji yang tidak berpijak ke bumi nyata kepada realiti?
Kita perlu ingat bahawa pengundi di kawasan bandar dan subbandar ini adalah individu yang sangat terdedah dengan maklumat.
Mereka berbincang soal politik secara tidak formal di kumpulan aplikasi WhatsApp, mengikuti perbincangan politik menerusi media elektronik, media baharu seperti YouTube dan ini adalah golongan yang akan melaksanakan pilihan mereka pada 19 November ini.
Berdasarkan semua kenyataan itu, saya yakin bahawa pengundi golongan ini sudah tahu pilihan parti yang akan dipilih dan mereka ini akan melihat janji manifesto yang akan ditawarkan oleh parti politik bertanding tidak lama lagi.
Kelompok ini juga berjaya melihat janji politik itu dengan rasionalnya dan sejauh mana ia mampu dilaksanakan dan bukan lagi suatu janji bulan bintang yang sedap didengar di telinga, namun hanya fantasi.
Berbeza dengan kelompok di luar bandar, ini kelompok yang akan ‘taat’ dengan satu parti saja memandangkan ini lebih kepada hubungan kekeluargaan, pengaruh ibu bapa dan faktor manusiawi yang lain.
Pada pendapat Prof, golongan mana yang akan menapis segala janji pilihan raya ini berbanding yang akan menyokongnya bulat-bulat?
Sudah tentu dalam permainan politik, ia sangat berkait rapat dengan persepsi.
Persepsi ini akan menimbulkan pelbagai persoalan menjolok emosi dan itu juga sebahagian daripada strategi parti yang bertanding.
Emosi ini juga akan banyak berkait rapat dengan golongan pengundi muda serta belia kerana kelompok ini didorong oleh faktor berkenaan.
Perlu diingat juga bahawa pengaruh pengundi muda ini adalah dominan untuk PRU kali ini kerana mereka mewakili hampir separuh daripada jumlah pengundi keseluruhannya.
Jadi, sudah tentu parti politik akan menjanjikan gula-gula yang khusus untuk golongan ini.
Pengundi muda, pertengahan dan veteran. Siapa yang akan beri kesan kepada parti bertanding kali ini?
Untuk golongan muda serta belia ini, saya menjangkakan bahawa mereka akan cenderung kepada pemilihan calon berbanding parti kerana mereka banyak memegang konsep kepercayaan kepada individu berbanding parti yang diwakili.
Oleh itu, parti yang akan mengumumkan calon serta ada sebahagian parti yang sudah mengumumkan calon perlu memposisikan 70 peratus muka baharu atau muka belia yang akan mewakili suara orang muda ini.
Golongan veteran hanya perlu dikekalkan untuk sebahagian tempat atau bagi calon yang mempunyai pengaruh yang besar dalam perjalanan sesebuah parti sahaja.
METRO