Pemuda UMNO perhebat jentera bantu calon P108
MASHAR MOKHTAR mendakwa tiada perubahan besar dalam pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.
Oleh Rohana Man
SHAH ALAM : Pemimpin dan ahli Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam sanggup bersengkang mata sehingga lewat malam demi memastikan perjalanan dan pergerakan jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan lancar dan dapat disempurnakan mengikut jadual.
Tinjauan MyTV Online mendapati sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri dilihat aktif bergerak membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) P108 Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil.
Selain berkempen, Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam turut turun padang meninjau jentera persiapan bahan kempen dan poster di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) sehingga lewat malam.
Berbekalkan semangat dan jiwa besar yang tetap setia walaupun terpaksa menelan pahit kekalahan BN dalam PRU14, setiap gerak kerja yang diatur diharap membuahkan hasil dalam usaha mengembalikan Shah Alam ke pangkuan BN.
Antara gerak kerja yang dilakukan adalah menganjurkan speaker corner di hadapan pasar malam sempena sesi walkabout Isham Jalil di Pasar Malam Seksyen 18 petang tadi.
Walaupun Isham Jalil sudah beredar untuk meneruskan program berikutnya, beberapa pengunjung pasar malam mengambil kesempatan untuk berkongsi ‘kisah benar’ sepanjang berada di bawah pentadbiran pembangkang.
Antaranya, Mashar Mokhtar, 46, yang telah menjadi penduduk Shah Alam sejak berusia sembilan tahun.
Beliau mengambil peluang untuk bercakap di pentas speaker corner dari atas kenderaan pacuan empat roda yang disediakan di hadapan pasar malam tersebut.
“Saya membesar di Seksyen 17 dan kini menetap di Setia Alam.
“Saya pernah duduk di bawah kerajaan BN dan kemudian kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sepanjang tempoh itu, saya lihat tidak ada perubahan besar dalam pembangunan yang dilakukan kerajaan PH.
“Yang buat perubahan adalah kerajaan persekutuan,” katanya yang berharap agar BN kembali berkuasa di Selangor.
Beliau memberi contoh, masalah banjir yang menghantui penduduk diselesaikan oleh kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.
“Sebab itu, saya yang dah berumur ni sanggup datang ke sini untuk support orang muda (Pemuda UMNO),” ujarnya.