Pemimpin agama ditembak mati di khalayak ramai
New Delhi: Seorang pemimpin radikal Hindu ditembak mati di khalayak ramai di Punjab, utara India.
Sudhir Suri, 58, ketua kumpulan agama fundamentalis dikenali Hindu Shiv Sena, ditembak di Amritsar, kata polis tempatan.
Portal The Independent melaporkan, sebelum ini mangsa pernah dituduh membuat komen yang menghina agama Sikh dan komuniti Sikh.
Seorang pegawai kanan polis Arun Pal Singh memberitahu agensi berita, penyerang tiba di tempat kejadian dan menembaknya mati di khalayak ramai.
Arun juga mengesahkan pemimpin radikal itu pernah ditembak beberapa kali.
Polis kemudian berkata, seorang pekedai tempatan, Sandeep Singh ditangkap berkaitan dengan tembakan itu.
Ketua Pengarah Polis Punjab, Gaurav Yadav, dipetik sebagai berkata oleh BBC, sesiapa yang berada di belakangnya dan sesiapa yang membuat konspirasi akan didedahkan dan mereka yang berada di belakangnya akan ditangkap.
Laporan tempatan mengatakan, mangsa membuat bantahan di luar premis kuil terhadap pengurusannya, untuk membantah dakwaan mencemarkan dewa Hindu apabila didatangi suspek dan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan.
Hanya sejam sebelum serangan ke atasnya, mangsa bertengkar dengan pihak pengurusan kuil Gopal Mandir berhampiran Jalan Majitha kerana didakwa mencemarkan berhala.
Polis kini giat melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, pihak berkuasa juga meminta penduduk setempat untuk bertenang dan tidak tunduk kepada sebarang desakan umum.
Agensi