Ronaldo sahkan dia tinggalkan United
LONDON: Cristiano Ronaldo tampil dengan satu kenyataan yang mengesahkan dia tidak lagi bersama Manchester United.
United menamatkan kontrak Ronaldo bernilai 500,000 pound (RM2.7 juta) seminggu melalui persetujuan bersama selepas temu bual pemain bintang itu bersama Piers Morgan yang mencetuskan kontroversi.
Kapten Portugal itu mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hati buat peminat The Red Devils dengan menyatakan yang dia akan sentiasa menyayangi kelab itu dan mendoakan yang terbaik buat pasukan.
“Susulan perbincangan dengan Manchester United, kami bersetuju untuk menamatkan kontrak kami secara bersama.
“Saya sayang Manchester United dan sayang kepada peminat, itu tidak akan pernah berubah.
“Saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu. Saya doakan yang terbaik buat Manchester United,” katanya.
Ronaldo mengkritik United ketika temu bual bersama Morgan apabila mendakwa dirinya dikhianati oleh kelab itu.
Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu turut mengecam pengurus, Erik ten Hag, Glazers termasuklah bekas rakan sepasukan Gary Naville dan Wayne Rooney.
Berita Ronaldo meninggalkan United hadir kurang 48 jam sebelum dia memulakan kempen Piala Dunia bersama Portugal.
Portugal dijadual memulakan kempen Piala Dunia di Qatar menentang Ghana, awal pagi Jumaat ini.
Agensi