Pemilik rumah kurang siuman bakar rumah sendiri

Sarikei: Kebakaran sebuah kediaman di Jalan Sungai Meliu Mador di sini, awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada pemilik rumah sendiri, seorang lelaki kurang siuman, yang dikatakan membakar kertas.

Kediaman itu didiami lelaki terbabit yang berusia 43 tahun bersama seorang anak perempuan berumur 20 tahun dan seorang anak lelaki berusia 18 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Pegawai Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, ahli keluarga memaklumkan bahawa pemilik rumah dikatakan kurang siuman.



“Sebelum kejadian, pemilik rumah dikatakan berkelakuan aneh dan sering membakar cebisan kertas.

“Ini mungkin penyebab kediaman mereka terbakar,” katanya pada kenyataan hari ini.

Nicholas berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.21 pagi dengan menggerakkan anggota BBP Bintngor ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berstruktur kekal terbakar keseluruhan. Semasa kebakaran seramai tiga orang penghuni rumah berjaya keluar dan selamat.



“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.56 pagi dan tamat sepenuhnya jam 3.10 pagi,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button