Trio muda sandaran Scaloni pada pusingan kalah mati

DOHA: Lionel Messi tidak menjaringkan gol ketika menentang Poland malah terlepas satu sepakan penalti namun Argentina tetap mempunyai alasan untuk bergembira apabila beberapa pemain muda tampil menyerlah.

Alexis Mac Allister (23 tahun), Enzo Fernandez (23) dan Julian Alvarez (22) mewakili pemain generasi baharu yang berazam membantu La Albiceleste memburu kegemilangan pada Piala Dunia Qatar 2022.

Alvarez menggandakan kelebihan Argentina manakala Mac Allister, mungkin pemain yang kurang dikenali dalam kalangan tiga pemain itu, membuka tirai jaringan ketika mereka mengatasi Poland 2-0 sekali gus menamatkan kempen peringkat kumpulan sebagai juara.



Pemain Brighton itu seorang daripada kejutan dalam skuad kendalian Lionel Scaloni pada Piala Dunia, sesudah bermula daripada pasukan remaja di Argentinos Juniors, yang mana dia beraksi dengan dua abangnya Kevin dan Francis.

Dia kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab ternama Liga Perdana Inggeris.

Alexis, Kevin dan Francis adalah anak pemain legenda Boca Juniors, Carlos Mac Allister, yang menyerlah pada era 1980-an dan 1990-an sebelum menceburi bidang politik.

Keputusan Scaloni menugaskan pemain Benfica, Fernandez sebagai perancang utama berbaloi.



Dia kelihatan penting di bahagian tengah, pemain yang memulakan hampir semua gerakan serangan.

Ia sesuatu yang agak mengejutkan kerana bekas pemain River Plate itu, yang kini diintai semua pasukan ternama di Eropah, biasanya tidak beraksi di posisi itu.

Dia bertindak hebat ketika Poland mengamalkan sistem bertahan 4-5-1 yang memerlukan hantaran tepat dan kreativitinya untuk merobek benteng pertahanan lawan.

Dia mempunyai semua ciri yang diperlukan untuk muncul pemain bintang.



Messi tidak menjaringkan gol namun ia tetap satu perlawanan bersejarah buatnya, yang muncul pemain Argentina dengan penampilan terbanyak pada pusingan akhir Piala Dunia.

Pertemuan dengan Poland di Stadium 974 menyaksikan penampilan ke-22 Messi, mengatasi rekod dipegang bersama bintang legenda negara itu, Diego Maradana yang beraksi sebanyak 21 perlawanan.

Bagaimanapun, kedua-dua Messi dan Maradona menyumbat lapan gol pada Piala Dunia namun bintang Paris Saint-Germain itu berpeluang untuk terus memecahkan rekod.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button