Qatar hantar pulang penyokong ‘pelangi’
DOHA: Seorang peminat bola sepak dari Itali yang menyerbu padang dengan mengibarkan bendera pelangi ketika perlawanan antara Portugal dengan Uruguay, dihantar pulang ke negara asalnya sekali gus mengakhiri pengalamannya pada Piala Dunia Qatar 2022.
Pihak berkuasa tempatan pada mulanya berkata selepas “penahanan singkat di tempat yang tidak didedahkan” peminat bernama Mario Ferri itu “dibebaskan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang syarat”.
Ferri, yang digelar ‘The Hawk’, terkenal dengan tingkah laku sebegitu.
Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, dia menyerbu padang ketika pertembungan Belgium-Amerika Syarikat memakai baju-T yang bertulis “Selamatkan anak-anak favela” dan “Ciro Vive”, sebagai penghormatan kepada peminat Napoli yang meninggal dunia tidak lama sebelum itu.
Kini, selain menunjukkan sokongan kepada komuniti LGBT, dia juga menggesa pencerobohan Russia di Ukraine dihentikan.
“FIFA mengharamkan lilitan lengan kapten pelangi dan bendera hak asasi manusia di tempat duduk, mereka menyekat setiap orang, tetapi tidak saya. Saya seperti Robin Hood,” katanya.
Bagaimanapun bagi peminat Amerika Syarikat yang memakai lilitan pelangi dan diusir dari perlawanan AS-Iran, tiada kemas kini mengenai statusnya.
AGENSI