Jaguh basikal maut nahas
Rom: Bekas juara lumba basikal Itali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Davide Rebellin terbunuh selepas terbabit nahas langgar lari dengan trak berdekatan rumahnya di wilayah Venice, menurut media tempatan semalam.
Dia yang berusia 51 tahun dianggap antara pelumba klasik paling lengkap dalam generasinya apabila memenangi tujuh perlumbaan utama.
Pada 2004, dia muncul pelumba pertama memenangi treble Ardennes Classics selepas menjuarai perlumbaan Liege-Bastogne-Liege, Fleche Wallone dan Amstel Gold.
Rebellin turut menjuarai Fleche pada 2007 dan 2009 selain memenangi klasik San Sebastian dan Zurich kedua-duanya pada 1997.
Dia menyertai 19 Grand Tour termasuk 12 Giro d’Italia, di mana dia memenangi satu-satunya saingan peringkat dan menyarung jersi merah jambu selama enam hari pada 1996.
“Hari ini sangat menyedihkan buat semua terbabit dengan basikal,” kata ketua Tour de France, Christian Prudhomme.
Perlumbaan terakhir Rebellin pada tahun lalu dalam divisyen rendah dan diingati oleh keluarganya sebagai seorang yang mendambakan kehidupan dengan sukan berbasikal.
AFP