4 negara ASEAN calonkan kebaya warisan budaya UNESCO
BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei, Malaysia, Singapura dan Thailand mencalonkan kebaya untuk disenaraikan sebagai warisan budaya Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pencalonan berbilang negara pertama membabitkan empat negara ASEAN itu memohon menyenaraikan kebaya sebagai Nilai Budaya Warisan Kemanusiaan (ICH).
Pencalonan yang akan dikemukakan pada Mac 2023 ini bakal memartabatkan kebaya yang wujud sejak permulaan abad ke-20 sebagai busana budaya dan tradisi banyak masyarakat di Asia Tenggara.
Idea pencalonan kebaya ini dicadang dan diselaraskan oleh Malaysia dan dibincangkan sebagai sebahagian siri mesyuarat kerja dalam kalangan beberapa negara pada 2022.
Brunei, Malaysia, Singapura dan Thailand bersetuju bekerjasama dalam pencalonan itu kerana kebaya mewakili dan meraikan sejarah kaya di rantau ini dan menggalakkan pemahaman silang budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Warisan Negara (NHB) Singapura, Chang Hwee Nee, berkata kebaya menjadi aspek utama dalam perwakilan dan paparan warisan budaya dan identiti Melayu, Peranakan dan masyarakat lain di Singapura.
“Pencalonan berbilang negara ini menggariskan kepelbagaian budaya dan akar umbi kita dengan rantau ini dan mengiktiraf pengetahuan, kemahiran artisan dan nilai sosiobudaya yang berkaitan dengan kebaya,” katanya.
Kebaya mewakili sebahagian besar warisan Melayu dan mencerminkan gabungan unik budaya di Asia Tenggara.
Masyarakat berbaju kebaya berbangga dengan gaya jahitan dan sulaman mereka sendiri, yang diturunkan daripada generasi kepada generasi.
Reka bentuk kebaya menunjukkan gabungan budaya contohnya, motif tradisional Jawa dan corak batik seperti kawung (buah sawit), atau motif daripada budaya Melayu, Cina, India ataupun tradisi dari Eropah, sama ada bunga dan haiwan, makhluk mitos, atau kiasan elemen.
AGENSI