Keakraban, semangat juang kunci kekuatan Australia
DOHA: Semangat keakraban dan tidak pernah mengalah dimiliki Australia yang membawa mereka ke peringat kalah mati Piala Dunia sudah dibentuk menerusi perjalanan panjang dan berliku menerusi peringkat kelayakan ketika mereka sering diragui namun tetap dengan pendirian tersendiri.
Perpaduan dalam skuad Australia serta semangat perjuangan tinggi menjadi bukti selepas kemenangan mereka mengatasi Tunisia dan Denmark yang memberikan Socceroos dua kemenangan berturut-turut pada Piala Dunia buat pertama kali dan pertemuan kelompok 16 terakhir menentang Argentina.
Skuad Socceroos bermain 20 perlawanan dalam kempen kelayakan dalam persekitaran sukar dan perintah berkurung membabitkan jarak yang jauh menyebabkan Australia sering kali perlu melalui perjalanan jauh.
Jurulatih, Graham Arnold berkata sebelum pertemuan dengan Denmark, skuad berkenaan mengenali satu sama lain dan apa yang dimahukan daripada mereka.
“Apa yang kami sudah lalui sejak empat setengah tahun yang lalu, jelas kami melalui antara tempoh yang paling sukar, masalah berkaitan pandemik, dan kami hanya bermain empat perlawanan daripada 20 di laman sendiri,” katanya sebelum menentang Denmark.
“Pemain tahu apa yang perlu dibuat, mereka tahu apa yang saya harapkan,” tambahnya.
Selepas kemenangan menentang Denmark, Arnold berkata dia juga banyak belajar mengenai pemainnya.
“Kami mungkin pasukan terakhir orang jangkakan akan layak tetapi ia sudah ditunjukkan (apa yang anda boleh dicapai) apabila anda ke padang dan memiliki mentaliti yang tepat, apabila ada peperangan dan anda ke sana untuk berjuang dan mencari kemenangan,” katanya.
“Saya tahu mentaliti kuat (pemain) dan mereka sanggup mati buat pasukan dan untuk rakan sepasukan, jadi mereka adalah orang yang saya sokong dan mereka adalah orang yang akan menyudahkan tugasan itu.”
Australia juga sudah sangat mengenali Qatar selepas mereka bermain lima perlawanan di negara berkenaan dalam tempoh dua tahun sebelum Piala Dunia, termasuk playoff menentang Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Peru seterusnya memberikan mereka tiket ke pusingan akhir.
“Di Qatar, apabila bola mula menyentuh padang, dan bola dihantar jauh, ia licin dan ia terus menuju ke penjaga gol,” katanya.
“Sentiasa sukar buat pemain atau pasukan untuk bermain bola dari belakang.”
REUTERS