MenHan perlu batalkan tender meriam Yavuz
Tamatkan kontroversi pembelian aset ATM
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Menteri Pertahanan atau lebih dikenali sebagai MenHan perlu mengkaji semula atau jika perlu membatalkan pembelian meriam Yavuz dari Turkiye.
Ini bagi membolehkan kerajaan serta panel yang dilantik mengkaji kemampuan sebenar meriam yang akan dibekalkan.
“Persoalannya adakah ini usaha ikhlas untuk membendung rasuah atau semata mata sandiwara untuk mengaburi mata rakyat sebelum PRU 15? Kalau Kerajaan hari ini benar benar serius membendung rasuah dan salahguna kuasa, kenapakah baru-baru ini satu lagi kontrak pembelian senjata jenis ‘meriam 155 mm self propelled Howitzer’ di lakukan secara rundingan terus. Walaupun pihak MINDEF – Angkatan Tentera Malaysia, sendiri memohon ianya dilakukan secara tender terhad supaya pilihan yang lebih adil dan tepat boleh dilakukan?”soal beliau. – Raja Kamarul Bahrin Shah – 17/8/2022
Isu pembelian meriam 155 mm selfpropelled Howitzer menimbulkan perdebatan kerana ia dilakukan secara rundingan terus dan spesifikasi meriam pula diragui. Malah ia dikatakan turut tidak memenuhi kehendak ATM.
Perlu diingatkan setiap pembelian aset ATM akan diperhatikan negara lain sebagai perbandingan milikan senjata pertahanan sesebuah negara.
Meneliti perbandingan antara spesifikasi meriam Yavuz dari Turkiye dan Ceaser dari Perancis yang dinaikmuat dalam artikel DEFENCE SECURITY ASIA memperlihatkan jurang yang agak jauh berbeza.
Spesifikasi Yavuz dan Ceaser akan mempengaruhi taktikal peperangan ATM dan ia sangat penting dalam pergerakan serta pemindahan segera bila diperlukan.
Menteri Pertahanan, Dato Seri Utama Mohamad Hj Hasan perlu memanggil semula para pakar persenjataan serta meminta satu pembentangan baru pembelian meriam ATM.
Kontroversi perlu dihentikan kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang besar bagi negara memantapkan sistem pertahanan.
Sekiranya pembelian aset tidak memenuhi apa yang diperlukan dan hanya dibuat secara runding terus, dikhuatiri aset tersebut hanya akan kekal sebagai ‘bahan pameran’ dan bukan untuk mempertahankan negara dari serangan pihak lain.