PROTON rekod prestasi jualan terbaik sejak 2013
SUBANG JAYA: Jenama automotif nasional, PROTON mencatatkan jualan 126,682 unit dari Januari hingga November tahun ini, pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun lalu dengan hanya satu bulan lagi menjelang penamat 2022.
Prestasi itu membolehkan PROTON mencapai jumlah jualan terbaik sejak 2013 dan syarikat berada di landasan untuk mencatatkan prestasi jualan terbaik dalam tempoh sembilan tahun.
Bagaimanapun, jualan PROTON pada November hanya berjumlah 11,316 unit apabila syarikat bergelut dengan isu bekalan sementara yang membawa kepada penurunan sebanyak 13.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Pegangan pasaran bagi November dianggarkan sebanyak 17.7 peratus dan untuk tahun ini, PROTON mengekalkan pegangannya di kedudukan kedua dengan 19.7 peratus daripada jumlah jualan kenderaan.
Secara individu, lima model PROTON mengatasi jumlah jualan berbanding tahun lalu dengan dua model, iaitu Proton X50 dan Proton Exora, menerajui segmen masing-masing sepanjang tahun.
Jualan eksport juga meningkat lebih 2,000 unit berbanding tahun sebelumnya kerana jualan setakat tahun ini kini berjumlah 5,028 unit berbanding 3,018 bagi keseluruhan tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata November adalah bulan jualan penuh peristiwa untuk syarikat kerana ia mengalami beberapa isu bekalan sementara yang menghalangnya daripada mencapai potensi penuh.
“Kami yakin dapat membetulkannya pada bulan Disember dan kekal yakin untuk menutup tahun ini dengan kukuh. PROTON akan menamatkan tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan tahun keempat berturut-turut.
“Selain daripada memberi manfaat kepada syarikat, peningkatan dalam jualan juga telah meningkatkan jumlah komponen yang dibeli daripada vendor tempatan, menambah bilangan pengedar kami dan mewujudkan
pekerjaan untuk ekosistem automotif.
“Dengan pengenalan model baharu dalam perancangan untuk 2023, kami berharap dapat meningkatkan sumbangan kepada ekonomi Malaysia dengan membuat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport,” katanya dalam satu kenyataan.
PROTON baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember lalu.
Pencapaian itu hanya meengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada April lalu.
Kilang enjin 1.5 TGDI PROTON adalah sebahagian daripada komitmen syarikat melabur RM1.8 bilion untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim dan kemuncak perjalanan yang bermula pada 2019 yang ditempuhi dalam keadaan yang mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata barisan enjin baharu adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja untuk mengatasi halangan serta mencapai matlamat syarikat.
“Ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran terkawal iklim dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya.
“Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin, yang akan digunakan merentasi beberapa model PROTON,” katanya.
BHOnline