‘Pelantikan timbalan menteri dalam satu, dua minggu lagi’
PUTRAJAYA: Proses untuk melantik timbalan menteri dalam barisan Kabinet mungkin mengambil masa antara satu hingga dua minggu lagi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ketika ini prosesnya sudah bermula dengan gabungan parti politik sudah diminta mengemukakan nama calon sesuai.
Beliau juga mengesahkan perkara itu dibincangkan secara pendek dan ringkas pada mesyuarat khas Kabinet semalam.
“Proses itu akan berjalan minggu ini dan sama seperti kita gunakan untuk membentuk Kabinet iaitu peraturan tertentu, dari segi jumlah timbalan menteri daripada gabungan tertentu akan bergantung kepada jumlah sumbangan ahli parlimen masing-masing.
“Perdana Menteri menentukan portfolio yang dirasakan sesuai dan terpulang kepada gabungan untuk mencalonkan nama.
“Berdasarkan nama itu kelak, Perdana Menteri akan melihat kesesuaian, kepakaran dan pengalaman sebelum dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong… mungkin akan ambil satu, dua minggu.. tetapi prosesnya sudah bermula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Nor Azmie Diron.
bhoNLINE