Roti canai telur naik harga RM3.20

Sukar dapat bekalan telur

Alor Setar: Peniaga roti canai di negeri ini mendakwa terkesan akibat kekurangan bekalan telur ayam sehingga terpaksa menaikkan harga roti canai telur RM3.20 sekeping.

Mohd Najmudin Md Nor, 32, berkata, kenaikan harga roti canai telur tidak dapat dielakkan kerana terpaksa membeli telur gred B dengan harga RM19 sepapan berbanding RM13.40 sepapan gred yang sama sebelum ini.

Beliau berkata, sebelum ini dia menjual sekeping roti canai telur dengan harga RM2.50 dan harga terpaksa menaikkan sejak dua minggu lalu.



“Adakalanya saya terpaksa membeli telur premium yang lebih mahal pada harga RM8 iaitu 80 sen sebiji berbanding 40 sen sebelum ini.

“Saya juga pernah menggunakan telur ayam kampung yang dibeli di pasar dengan harga 70 sen sebiji,” katanya ketika ditemui di gerainya di Medan Selera Alor Bakar Bata, di sini hari ini.

Manakala Mohd Nazri Ahamed Khan, 29, berkata, setakat ini sudah lima kali dia menaikkan harga roti canai telur disebabkan kesukaran mendapatkan telur ayam.

Katanya, harga roti canai telur sebelum ini adalah RM2.20 sebelum dinaikkan harga antara 10 sen hingga 30 sen sekeping.



“Nak dapat telur sepapan pun susah sekarang sebab terpaksa pergi awal ke pasar raya atau kedai untuk mengelak kehabisan stok telur.

“Penat juga nak cari bekalan telur hinggakan saya terpaksa pergi ke daerah lain termasuk Pendang,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Peremba, di Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menurut Mohd Nazri, ada juga pelanggan yang merungut kerana roti canai telur naik harga tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan masalah ini hinggakan terpaksa menggunakan telur premium yang lebih mahal sehingga mencecah RM12 untuk 10 biji.

Katanya, sebelum ini dia mampu menghasilkan lebih 300 roti canai telur tetapi sekarang hanya mampu menghasilkan sekitar 200 biji.



Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada pengguna terutama peniaga kedai makan berkaitan bekalan telur yang berkurangan di semua daerah di negeri ini.

Katanya, pihaknya berharap isu ini dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan peniaga dan pengguna mengalami kerugian.

“Hasil pemantauan saya dengan peniaga roti canai mendapati, mereka memaklumkan telur yang diperolehi mencecah 56 sen sebiji berbanding harga murah yang kurang berkualiti.

“Semalam saya terbaca laporan berita bahawa kerajaan akan membuat pengumuman untuk menurunkan harga telur tetapi sekarang yang penting adalah bekalan telur kerana harganya setakat ini tiada masalah,” katanya.



Mohamad Yusrizal berkata, pihak pemborong mendakwa terpaksa mengehadkan penghantaran telur dengan alasan bekalan telur tidak cukup.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button