PU Azman kena dakwa kes seksual lagi

KLANG: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, sekali lagi didakwa dengan dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki, tahun ini.

Azman Syah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said di Mahkamah Sesyen, dan satu lagi di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid di Mahkamah Majistret.

Di Mahkamah Sesyen, Azman Syah yang juga dikenali sebagai Cik Man, didakwa dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Sungai Udang, dekat sini, masing-masing pada jam 12.15 tengah malam 20 Februari dan jam 1 pagi 29 Jun lalu.



Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa menggalakkan seorang lagi mangsa lain yang juga berusia 17 tahun untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp antara jam 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, dekat sini, 16 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Azman Syah didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, dekat sini, pada jam 9.15 malam 10 Jun lalu.



Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Azman Syah diwakili peguam, Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga serta saksi pendakwaan, selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Sebutan semula bagi kesemua kes berkenaan ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.



Oktober lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun sama.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button