Lima premis jalankan kegiatan judi diserbu

MANJUNG: Polis menyerbu lima premis kerana kesalahan aktif menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Lumut dan Sitiawan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik di kesemua lima premis terbabit setelah mendapat kelulusan.

Nor Omar berkata, daripada lima premis yang diserbu, empat adalah kedai aksesori telefon manakala satu lagi premis menjalankan perniagaan kedai runcit.



“Semua premis ini pernah diserbu pihak polis lebih dua kali sebelum ini. Tindakan pemotongan elektrik ini adalah berdasarkan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Tindakan pemotongan bekalan elektrik ini diambil kerana mereka masih berdegil dan tidak serik dengan hukuman

yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.

“Dianggarkan sebanyak RM500 sehingga RM1000 keuntungan harian yang dikaut oleh pihak premis ini,” kata Nor Omar ketika ditemui dalam operasi Op Dadu di sebuah premis aksesori telefon di Sitiawan dekat sini, hari ini.



Untuk rekod, 315 kertas siasatan dibuka pada tahun lalu. 260 kertas siasatan didakwa di mahkamah dan 14 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

Bagi tempoh Januari 2022 hingga Disember tahun ini pula, 330 kertas siasatan dibuka dan 234 didakwa di mahkamah. Jumlah premis yang diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik adalah 18 termasuk lima premis hari ini.

Katanya, kes perjudian di daerah Manjung adalah antara yang tertinggi di Perak.

“Saya boleh sahkan jumlah serbuan kes judi di daerah ini antara tertinggi di Perak, masih banyak premis yang degil. Oleh itu, saya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat supaya tindakan yang tegas dapat diambil,” katanya lagi.



Dalam perkembangan berasingan, Nor Omar berkata pihaknya masih berusaha mengenal pasti suspek kes menghina azan seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 24 November lalu.

“Pihak IPD Manjung sudah mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak Bukit Aman untuk kenal pasti suspek yang terlibat. Sebaik sahaja suspek dapat dikesan, tangkapan akan segera dilakukan,” kata Nor Omar.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button