Ronaldo berahsia – Ten Hag
London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memaklumkan Cristiano Ronaldo tidak pernah memberitahunya bahawa dia mahu meninggalkan Old Trafford.
United berpisah dengan bintang Portugal itu selepas penyerang veteran itu mengeluarkan kenyataan ketika di temubual sebuah stesen TV di mana dia berkata dia berasa ‘dikhianati’ oleh kelab dan tidak menghormati Ten Hag.
“Saya jelas selepas temubual itu dia mahu pergi. Saya rasa kita tidak perlu membincangkannya,” kata Ten Hang.
“Saya mahu dia kekal dari saat pertama hingga sekarang. Dia mahu pergi dan ia jelas. Dan apabila pemain tidak mahu berada di kelab ini maka dia perlu pergi, itu jelas.”
Ten Hag berkata di kem latihan musim sejuk United di Sepanyol mendakwa, pemain berusia 37 tahun itu yang kini bermain bersama Portugal di Piala Dunia membayangkan hasratnya untuk kekal di kelab itu sebelum musim bermula.
“Sehingga saat itu dia tidak pernah memberitahu saya, ‘Saya mahu pergi’,” kata pengurus United itu.
“Pada musim panas kami mengadakan satu perbincangan. Dia masuk dan berkata ‘saya akan memberitahu anda dalam tempoh tujuh hari jika saya mahu kekal’.
“Dia kemudiannya datang kembali dan berkata ‘saya mahu kekal.’ Sehingga saat itu (temubual) saya tidak pernah mendengar apa-apa.”
Bintang Portugal itu mencipta kariernya di Old Trafford, berkembang daripada seorang remaja yang mentah tetapi memiliki bakat luar biasa sehingga menjadi salah seorang penyerang paling berbahaya di dunia.
AFP