FIFPro selar hukuman mati pemain Iran
TEHRAN: Pemain bola sepak Iran, Amir Nasr-Azadani berdepan hukuman mati selepas menyokong bantahan terhadap hak wanita di negara itu.
Kesatuan Pemain-Pemain Bolasepak Antarabangsa (FIFPro) mengesahkan berita berkenaan dan merayu kepada pihak berkuasa Iran untuk mengubah fikiran mereka.
“FIFPro terkejut dengan laporan yang mengatakan pemain bola sepak profesional, Amir Nasr-Azadani berdepan hukuman mati di Iran selepas berkempen untuk hak wanita dan kebebasan asasi di negaranya.
“Kami bersoladiriti dengan Amir dan menuntut hukuman itu dibatalkan serta-merta,” kata FIFPro dalam satu kenyataan.
Pemain 26 tahun itu, yang ketika ini mewakili pasukan Tractor di Liga Pro Teluk Parsi, didakwa melakukan “moharebeh” (permusuhan terhadap Tuhan), menurut IranWire.
Saluran media berkenaan turut melaporkan, keluarga pemain itu juga diancam berulang kali oleh pihak berkuasa Iran.
Hanya seorang daripada pemain dalam skuad Piala Dunia Iran menyelar hukuman mati yang dilaksanakan di negara itu.
Penjaga gol, Alireza Beiranvand di laman Instagramnya meminta hukuman itu dibatalkan.
Bantahan anti-kerajaan sedang berleluasa di Iran sejak kematian wanita berusia 22 tahun, Mahsa Amini, yang ditahan kerana tidak mengikut etika berpakaian untuk wanita di negara itu.
IranWire mendakwa, kerajaan Iran mungkin cuba untuk memerangkap Nasr-Azadani di atas kematian Kolonel Esmaeil Cheraghi dan dua anggota Basij, puak militan kerajaan, ketika bantahan pada 17 November.
Pemain itu dilaporkan hanya terbabit dalam melaungkan bantahan dan tidak berada di tempat kejadian di mana kematian berlaku.
AGENSI