Penduduk buntu masalah banjir termenung

Sabak Bernam: Mangsa banjir di Kampung Batu 38, Baroh, di sini, buntu selepas rumah mereka digenangi air termenung sejak kelmarin.

Mohamed Roszaini Abdul Ghafoor, 41, berkata, dia bagaimanapun bersyukur banjir kali ini tidak membabitkan kerosakan harta benda yang banyak.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sekeluarga baru pulang dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan sebelum itu bersiap sedia mengemas barang terutama dokumen peribadi dan peralatan elektronik.



“Selepas solat Maghrib, hujan lebat berterusan selama beberapa jam menyebabkan air melimpah di perkarangan sebelum memasuki rumah.

“Sebelum ini, saya ada menambak bahagian belakang rumah dengan harapan air tidak masuk namun apakan daya ia tidak boleh dihalang,” katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail di rumahnya, hari ini.

Terdahulu, Rizam meluangkan masa kira-kira satu jam melawat 12 rumah yang terjejas banjir di sekitar kawasan terbabit.



Bagi Kasmawati Muslimin, 53, tahun ini sahaja sebanyak tiga kali banjir melanda rumahnya dan kali ini antara yang teruk.

“Kalau sebelumnya ibu menumpang di rumah saya, kali ini saya sekeluarga pula berlindung di rumah ibu yang jaraknya kira-kira 300 meter dari kediaman kami disebabkan banjir.

“Seluruh ruang dalam rumah saya tenggelam dan kami tinggal sementara di rumah ibu yang terletak di seberang jalan. Rumah ibu juga dinaiki air tetapi hanya masuk di bahagian dapur,” katanya.

Sementara itu, Rizam berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan digesa menyalurkan peruntukan segera untuk menangani isu banjir daripada berulang kembali.



“Tinjauan saya mendapat banjir di kampung ini ibarat acara tahunan dan penduduk terpaksa tinggal dalam rumah yang digenangi air.

“Banjir ini bukan sahaja merosakkan harta benda, malah menjejaskan tanaman kebun yang diusahakan penduduk,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button