Messi menang Bola Emas

DOHA: Lionel Messi dipilih memenangi Bola Emas iaitu pemain terbaik Piala Dunia 2022 selepas membantu Argentina muncul juara dengan menewaskan Perancis pada aksi final.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu muncul pemain pertama memenangi dua kali anugerah berkenaan selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014.

Messi meledak dua gol pada aksi final di Stadium Lusail itu untuk merekodkan keseluruhan tujuh gol sepanjang kejohanan kali ini dan turut menyempurnakan sepakan pada penentuan penalti yang menyaksikan Argentina menang 4-2 ke atas Perancis selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga tamat masa tambahan.



Kylian Mbappe menjadi pemain kedua di belakang Perancis untuk anugerah berkenaan tetapi dia berjaya membawa pulang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledak lapan gol.

Luka Modric berada di kedudukan ketiga dalam pemburuan sebagai pemain terbaik kejohanan yang menyaksikan dia membantu Croatia menamatkan saingan di tempat ketiga.

Sementara itu, penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez meraih anugerah Sarung Tangan Emas apabila dipilih sebagai penjaga gol terbaik manakala rakan senegara, Enzo Fernandez yang berusia 21 tahun dinamakan sebagai pemain muda terbaik.

Kemenangan Argentina ke atas Perancis menyaksikan pasukan itu merekodkan gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas melakukannya pada edisi 1978 dan 1986.



AFP

Senarai pemenang Bola Emas

2018: Luka Modric, Croatia

2014: Lionel Messi, Argentina



2010: Diego Forlán, Uruguay

2006: Zinedine Zidane, Perancis

2002: Oliver Kahn, Jerman

1998: Ronaldo, Brazil



1994: Romário, Brazil

1990: Salvatore Schillaci, Itali

1986: Diego Maradona, Argentina

1982: Paolo Rossi, Itali



1978: Mario Kempes, Argentina

1974: Johan Cruyff, Belanda

1970: Pelé, Brazil

1966: Bobby Charlton, England



1962: Garrincha, Brazil

1958: Didi, Brazil

1954: Ferenc Puskás, Hungary

1950: Zizinho, Brazil

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button