Jangan buat macam ni lagi dik…
Penampang: Anggota Bomba dan Penyelamat menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang hiperaktif bersembunyi di atas bumbung tingkat empat flat Taman Kendera 1, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.57 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terbabit dalam operasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati seorang kanak-kanak lelaki yang hiperaktif berusia 12 tahun bersembunyi di atas bumbung tingkat empat flat berkenaan.
“Tindakan pasukan bomba memanjat naik menggunakan tangga ke atas flat berkenaan melalui jeriji besi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit berjaya ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian dibawa turun dan diserahkan kepada keluarganya. Operasi ditamatkan pada 8.40 malam,” katanya.
METRO