Mayat budak perempuan ditemui pada kedalaman 17 meter
BATANG KALI: Mayat seorang budak perempuan yang ditemui di lokasi Tragedi Batang Kali malam tadi, ditemui tertimbus pada kedalaman lebih 17 meter daripada aras tanah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata mayat kanak-kanak anggaran umur antara 6 hingga 10 tahun itu berada berdekatan batu yang dianggarkan lebih besar daripada jengkaut.
“Ketika ditemui, kanak-kanak perempuan itu ditemui dengan berpakaian lengkap baju tidur berwarna merah jambu.
“Berdekatan mangsa juga terdapat empat beg yang mengandungi pakaian dan komputer riba namun tiada pengenalan diri bersama mayat.
“Mayat sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita mengenai situasi terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan, Father’s Organic Farm, Jalan Genting, di sini hari ini.
Tambahnya, kanak-kanak yang juga mayat ke-25 itu ditemui di Sektor C (Riverside) dan operasi SAR yang memasuki hari keenam itu akan menumpukan di kawasan terakhir mayat itu ditemui.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata sebelum ini pihaknya sudah mengorek tanah di kawasan berkenaan dengan kedalaman lebih 12 meter daripada aras tanah.
“Sebelum ini kita sudah gali, namun rupanya kedalamannya lebih tinggi daripada jangkaan kita. Bila kita gali dengan kedalaman lebih 16 meter, air keluar membuak-buak dan mangsa ditemui di tepi batu besar sebab itu proses pencariannya agak lambat,” katanya.
Sementara itu, Hafisham berkata kini pihaknya cuba untuk mengurangkan anggotanya kepada 106 orang di kawasan berkenaan kerana keadaan tanah yang berselut dengan ketinggian 14 meter.
“Semalam, ketika SAR selepas kedalaman 16 meter itu, air yang keluar membuak buak dan keadaan bahaya, sebab itu kita hentikan operasi. Sekiranya kita masih di sana, mungkin akan beri masalah sekiranya berlaku kecederaan dan sebagainya.
“Jadi hari ini kita akan kawal kemasukan orang serta meletakkan pasukan pegawai keselamatan untuk tengok pergerakan tanah.
“Sekiranya ada laporan berkemungkinan berlakunya gelinciran tanah, kita akan bunyikan siren dan kesemua anggota yang berada di kawasan tanah runtuh perlu keluar,” katanya.
BHOnline