Artis bukukan himpunan carian di Google
Paris: Artis Perancis, Albertine Meunier menghimpunkan semua sejarah carian Googlenya pada 2006 dengan menerbitkan sebuah buku.
“Pada masa itu, sukar untuk mengakses data anda sendiri, jadi saya terpaksa ‘menyalin dan menampal’ tanpa henti,” kata Meunier di galeri kecilnya di tengah Paris.
Enam belas tahun kemudian, keadaan berubah dan sesiapa sahaja boleh menggunakan perkhidmatan TakeOut Google untuk memuat turun keseluruhan sejarah carian di enjin carian itu.
Meunier sudah pun menerbitkan tiga jilid carian Googlenya, dan baru-baru ini, mengadakan pameran di Paris di mana dia melukis dinding galerinya dengan carian itu.
Seorang artis digital dan perintis menggunakan token tidak sepiawai (NFT), sedar bahawa carian itu adalah bacaan yang membosankan.
“Ia sangat, sangat membosankan.
“Terutamanya kerana kehidupan setiap orang agak membosankan,” katanya.
Projek itu sebenarnya bertujuan untuk menarik perhatian kepada simpanan besar data untuk setiap pengguna pada pelayan gergasi teknologi.
Pihak berkenaan kemudian menggunakan data itu untuk menjana berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat daripada pengiklan.
“Jika semua orang mula mengeluarkan data mereka secara terbuka, sedikit demi sedikit, anda boleh memusnahkan nilai yang dibina oleh syarikat itu,” katanya.
Meunier adalah pengumpul tegar NFT, yang meledak pada tahun 2020 dan tahun lalu tetapi menyaksikan nilainya menyusut bersama-sama dengan harga mata wang kripto dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kemuncaknya berlaku pada Mac tahun lalu apabila artis digital Beeple melelong sebuah karya dengan harga AS$69.3 juta (kira-kira RM306.7 juta) iaitu nilai ketiga tertinggi dalam sejarah untuk artis yang masih hidup.
AFP