Pak Nil berang wajah digunakan dalam iklan palsu
KUALA LUMPUR: Selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi, 60, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat suntingan terhadap gambarnya bagi tujuan mempromosikan satu produk.
Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, dia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu mengaut keuntungan hasil menipu orang ramai.
“Saya akan ambil tindakan undang-undang. Mereka ini bila cakap sahaja tetap akan buat lagi. Kalau tidak orang sama, orang lain pula.
“Jadi, dengan tindakan undang-undang akan habis cerita.
“Saya tak main-main dengan orang yang menipu. Sekarang, saya masih di Singapura, jadi laporan akan buat dalam masa terdekat,” katanya kepada BH Online.
Pemenang 10 kali trofi Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu berkata, dia sudah berulang kali berhadapan dengan situasi sedemikian.
“Beberapa kali sebenarnya kejadian seperti ini berlaku kepada saya. Ada kala saya bergambar dengan produk lain, tetapi orang tidak bertanggungjawab sunting dengan meletakkan produknya pula.
“Ada juga yang pernah sekali minta saya buat ulasan satu produk, tetapi akhirnya guna gambar saya untuk promosi semua produk mereka di pelbagai medium,” katanya.
Dalam masa sama, Aznil menasihati pembeli agar lebih berhati-hati dengan taktik penipuan seperti itu.
“Penipu seperti ini memang tak takut Tuhan dan mahkamah akhirat. Jadi, saya nasihatkan pembeli, kalau boleh ikuti sosial media saya supaya dapat tahu apa produk mana yang saya betul-betul terbabit.
“Berhati-hati sebab duit kita orang nak ‘songlap’ sekejap sahaja, ditambah pula menggunakan wajah orang berpengaruh sebagai bahan promosi lagi senang kerja mereka,” katanya.
Terdahulu, Aznil memuat naik hantaran di laman sosial Instagram (IG) bagi mengingatkan orang ramai tidak mudah tertipu dengan taktik penipuan daripada pihak tidak bertanggungjawab.
BHOnline