Fati elak aib Barca
Alicante, Sepanyol: Ansu Fati muncul wira Barcelona selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan pasukan divisyen tiga, Intercity 4-3 dalam masa tambahan di pusingan ke-32 Piala Sepanyol, awal pagi tadi.
InterCity yang naik ke divisyen tiga musim lalu bangkit tiga kali menerusi jaringan hatrik Oriol Soldevila untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas seri 3-3 dalam tempoh 90 minit tetapi mereka tersingkir apabila pemain gantian Ansu Fati meledak gol kemenangan pada minit ke-103 di Alicante.
Ronald Araujo, Ousmane Dembele dan Raphinha menjaringkan gol untuk Barcelona namun Soldevila yang berusia 21 tahun meledak tiga gol dalam tempoh 25 minit pada babak kedua termasuk jaringan dramatik minit ke-86 untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Soldevila menggilap bakatnya di akademi Barcelona selama dua tahun sebelum berpindah ke England dengan menyertai Birmingham City dua musim tetapi gagal mendapat tempat dalam skuad utama.
“Aksi dalam saingan kejohanan memang sukar dijangka,” kata Araujo kepada Movistar. “Ia memberikan pengajaran kepada kami. Saingan kejohanan memang seperti ini dan kami tahu situasi itu.”
Dalam perlawanan lain Atletico Madrid menang 2-0 ke atas kelab divisyen dua Real Oviedo menerusi jaringan Marcos Llorente dan pemain muda Pablo Barrios manakala Sevilla meraih kemenangan besar selepas membelasah Linares 5-0.
AFP