Tiada nama lebih besar di belakang jersi dari Malaysia

Harimau Malaya berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022. Sama ada mahu atau tidak, sebagai peminat setia bola sepak negara Piala AFF, ia ibarat hari raya untuk sukan bola sepak dalam rantau Asia Tenggara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia memang ditunggu-tunggu peminat bola sepak tanah air. Malahan kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Piala AFF adalah satu-satunya medan untuk menguji pasukan negara sebelum ke kejohanan lain yang lebih besar.

Kejohanan AFF sepatunya menjadi medan ketua jurulatih negara menguji pemain dalam memantapkan kesefahaman bermain bersama skuad negara.



Kemenangan ke atas Singapura di Stadium Bukit Jalil pada Selasa lalu memberikan satu mesej jelas kepada penyokong bola sepak negara.

Skuad Harimau Malaya yang ada ini adalah Harimau Malaya yang sebenar. Bukan klon, bukan `copy ori’ dan sudah pasti bukan pilihan kedua apatah lagi selaku Harimau Malaya B. Cakap-cakap belakang Malaysia hanya menurunkan pasukan kedua dalam saingan kali ini adalah cakap-cakap belakang semata-mata. Cakap-cakap mereka yang berfikiran dangkal dalam menterjemah minat dan sokongan kepada pasukan negara.

Seperti kita semua sedar, ramai muka baharu dalam skuad kebangsaan kali ini. Namun Kim Pan Gon berjaya membentuk gandingan yang serasi antara pemain yang ada. Safawi Rashid kembali menemui rentaknya.



Gandingan mantap bersama Faisal Halim berjaya mencipta gerun pada pasukan lawan. Buktinya kedua-dua pemain ini kerap menerima terjahan keras dari pihak lawan bagi menghalang mereka untuk terus merobek gawang.

Tidak dilupakan pemain lain yang bersama-sama bertungkus lumus ketika perlawanan demi mencari kejayaan untuk negara tercinta.

Kesungguhan Brendan Gan, Ruventhiran, Mukhairi, Darren Lok, Stuart Wilkin dan lain-lain ketika bermain membuktikan bahawa mereka bukanlah pilihan kedua tapi merekalah Harimau Malaya yang sebenar.

Tidak dilupakan barisan pemain simpanan yang mampu memberikan saingan seperti pemain kesebelasan utama.



Impian pemain bola sepak di seluruh dunia adalah untuk menyarung jersi negara. Namun untuk menyarung jersi negara memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Hanya yang berani dan berjiwa kental mampu menyahut seruan tersebut.

Terbuktilah bahawa pemain yang ada hari ini adalah mereka yang terbaik. Bukan mudah mendapat tempat, tetapi apabila sudah dipilih mereka menyahut seruan itu dan tidak mensia-siakannya.

Terbukti apabila pemain yang ada mampu membawa Malaysia ke separuh akhir. Sekaligus mendiamkan cakap-cakap belakang yang tidak berasas.

Kini hanya tinggal 180 minit memisahkan Harimau Malaya dengan perlawanan akhir. Teruskan perjuangan demi lencana di dada. Mesejnya jelas terpapar di dada stadium dengan kain rentang yang dinaikkan penyokong setia Harimau Malaya pada Sabtu lalu.



Realitinya penyokong setia Harimau Malaya hanya perlukan pemain yang berminat dan mampu memberikan jiwa dan raga untuk negara.

Pasukan yang ada mungkin boleh ditambah baik dan kini terpulang kepada Pan Gon untuk merencana pasukan negara bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023. Pemain sedia ada perlu terus diberi peluang.

Pan Gon perlu memilih mereka yang benar-benar layak kerana tiada nama di belakang jersi yang lebih besar dari MALAYSIA!

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button