2 gol Nketiah bantu Arsenal mara
OXFORD, United Kingdom: Eddie Nketiah meledak dua gol ketika Arsenal menempah pertembungan pusingan keempat Piala FA di Manchester City selepas mengetepikan pasukan divisyen tiga, Oxford United 3-0 sebentar tadi.
Tandukan Mohamed Elneny membuka jaringan di Stadium Kassam selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal menembusi gawang lawan dalam sejam permainan.
Nketiah kemudian mengesahkan kemenangan dengan melebarkan jumlah jaringannya kepada empat gol sejak rehat Piala Dunia.
“Kami perlu meningkatkan tahap kerana ia tidak cukup bagus pada babak pertama dan saya rasa kami berjaya melakukannya pada babak kedua,” kata Nketiah.
“Ia bukanlah undian yang bagus tetapi kami sudah bersedia.”
Mikel Arteta menamakan skuad terbaik dengan pilihan tiga penyerang utama berikutan kecederaan Gabriel Jesus dengan meletakkan Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli bermain di sayap bagi memberi bantuan kepada Nketiah.
Arsenal mendominasi posisi sebelum rehat tetapi bergelut untuk mencipta peluang terbaik dan semakin kecewa apabila mereka tidak diberikan penalti kerana bola terkena tangan Elliott Moore yang cuba menyekat cubaan Albert Sambi Lokonga.
Fabio Vieira menjadi seorang daripada pemain yang jarang berada dalam kesebelasan utama Arteta juga diberi peluang untuk menyinar dan pemain Portugal itu menampilkan aksi terbaik dengan dua bantuan gol selepas rehat.
Sepakan percuma bekas pemain tengah Porto itu ditanduk masuk Elneny yang juga gol pertamnya sejak 2021.
Nketiah kemudian terus menggunakan peluang selepas ketiadaan Jesus.
Penjaring terbanyak pasukan bawah 21 tahun England itu tenang mengatasi Edward McGinty hasil hantaran Vieira.
“Semua pemain mahu beraksi,” kata Nketiah. “Saya bersyukur mendapat peluang itu dan hanya mahu terus membantu pasukan.”
Nketiah menambah jaringan kedua apabila dia mengatasi McGinty selepas menerima hantaran Martinelli 14 minit sebelum tamat permainan.
AFP