Lemak jahat ‘bertapa’ di perut

Semua orang sudah pasti mengidamkan badan yang langsing atau tegap tanpa lemak melingkari perut, selain sentiasa hidup dalam keadaan sihat.

Isu lemak banyak di perut ini dialami ramai individu dan keadaan ini lazimnya lebih ketara kepada golongan berusia.

Lemak yang terdapat pada perut merujuk kepada lemak sekitar perut, iaitu dibahagikan kepada dua jenis, iaitu visceral (lemak ini mengelilingi organ tubuh) dan Subkutan (lemak yang berada di bawah kulit.)



Peningkatan lemak pada tubuh secara tidak terkawal terutama lemak jahat juga boleh mengakibatkan pelbagai penyakit lain datang mengundang seperti obesiti, kencing manis dan serangan jantung.

Justeru, jangan biarkan ia berlaku. Namun, ramai yang menyangka untuk mendapatkan tubuh yang ideal termasuk membuang lemak perlu mengeluarkan wang yang banyak seperti melakukan pembedahan bariatrik.

Malah, ke gimnasium setiap hari dan mengupah jurulatih, perlu juga memastikan makan makanan yang sihat yang bukan murah harganya.

Ada banyak cara yang boleh dilakukan dengan cara mudah dan tanpa perlu kos mahal bagi menghindarkan lemak terus ‘betapa’ di perut atau semakin bertambah lemak tanpa disedari.



Rutin hidup sihat

Menurut pakar kiropraktik dari Amerika Syarikat, Dr Richard Huntsman untuk menghilangkan sendiri lemak berkenaan perlukan kerajinan dalam melakukan rutin gaya hidup sihat.

“Lemak pada perut disebabkan beberapa faktor termasuk akibat hormon testosterone yang rendah, rintangan insulin, penyakit jantung dan akibat barah,” katanya.



Jusreru, beliau berkongsi panduan bagi mengatasi masalah ini seperti berikut:

1. Tumpuan kepada makanan berunsurkan protein yang menjadi asas utama diet harian

Ini kerana protein membantu mengenyangkan, mencegah lonjakan insulin, mengelakkan gula berlebihan, mengekalkan jisim otot dan meningkatkan testosterone.

“Protein terbaik adalah dari sumber daging lembu, ayam, ikan dan telur yang perlu diambil sekurang-kurangnya 150 gram (g) sehari,” katanya dalam ciapan di laman sosial Twitter miliknya.



2. Berpuasa

Berpuasa jalan mudah untuk mengurangkan lonjakan insulin, mengurangkan jumlah makanan yang diambil dan membakar lemak.

Katanya, apabila berpuasa, badan akan menggunakan sumber tenaga yang paling mudah didapati iaitu lemak yang tersimpan.

“Dengan menjadikan puasa sebagai sebahagian daripada rutin juga adalah salah satu perkara yang paling mudah untuk dilakukan bagi meningkatkan kesihatan.



Mulakan dengan melangkau sarapan beberapa kali dalam seminggu dan seterusnya cuba berpuasa sekurang-kurang sehari setiap minggu.

3. Latihan rintangan

Kaedah ini mampu meningkatkan testosteron, jisim otot dan pembakaran lemak selain mampu mengurangkan keradangan.

Katanya, latihan rintangan tidak semestinya dilakukan di gimnasium selama berjam-jam lamanya.



“Luangkan masa 15 minit sehari untuk melakukan tekan tubi, ‘pull ups’ dan ‘body squats’.

Selain itu, boleh juga menggunakan set jalur rintangan dan boleh melakukan senaman untuk seluruh badan dalam masa 20 minit menggunakan keseluruhan set berkenaan.

4. Kurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan bergula

Lemak di perut selalunya disebabkan oleh rintangan insulin yang berpunca daripada karbohidrat dan gula.

“Oleh itu perlu mengurangkan secara mendadak untuk memulihkan semula kerosakan bertahun-tahun akibat pemakanan yang kurang sihat sebelum ini.

“Tetapi tidak perlu menjadi keto, hanya mulakan dengan mengambil kurang daripada 100 g karbohidrat setiap hari,” katanya.

5. Elakkan pengambilan air manis

Minuman manis hidangan paling tidak elok untuk kesihatan badan termasuk jus buah kerana ia akan serta merta bertukar menjadi lemak oleh hati dan ia disimpan di dalam hati dan perut,” katanya.

6. Mengehadkan pengambilan alkohol

Pengambilan yang berlebihan meningkatkan risiko obesiti atau lemak perut atau turut dipanggil sebagai lemak bir.

Katanya, jika seseorang itu benar-benar ingin mengurangkan lemak pada perut, perlu pertimbangkan minum alkohol secara sederhana atau tidak mengambilnya langsung.

7. Berusaha mengurangkan tahap tekanan

Tekanan mampu meningkatkan pengeluaran kortisol.

Katanya, tahap kortisol yang lebih tinggi mendorong lemak disimpan di dalam perut selain mampu meningkatkan selera makan dan keinginan makanan manis.

“Oleh itu, perlu mencari cara untuk mengurangkan tahap tekanan sama ada dengan meditasi, yoga, sukan dan sebagainya,” katanya.

8. Tidur yang mencukupi

Kajian menunjukkan individu yang kurang tidur, cenderung memiliki berat badan berlebihan.

Katanya, tidak cukup tidur juga boleh meningkatkan ketahanan insulin dan kortisol serta melambatkan kadar metabolisme.

“Pastikan mendapat tidur nyenyak yang mencukupi sekurang-kurangnya lapan jam,” katanya.

9. Mengamalkan cuka epal

Kajian selama 12 minggu terhadap seorang lelaki yang mengambil satu sudu cuka epal sehari mendapati mereka kehilangan purata setengah inci saiz pinggang, menurunkan berat badan serta menurunkan trigliserida berbanding placebo.

“Tambah satu sudu besar cuka epal ke dalam air dua hingga tiga kali sehari dan sebaik-baiknya sebelum makan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button