Siapakah penggodam misteri?
Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum mengenal pasti objektif sebenar cubaan pihak tidak bertanggungjawab menggodam rangkaian komunikasi agensi itu.
Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin, berkata pihaknya turut mengesan kemungkinan lain iaitu godaman bagi menguji kemahiran sendiri, serta kemungkinan untuk menguji teknologi dibina.
“Banyak objektif penggodam ini, mereka mungkin mahu uji kemahiran sendiri atau mahu uji teknologi yang mereka sendiri bina atau sudah pun ada dalam pasaran.
“Di belakang mereka ini juga mungkin ada pihak yang menaja usaha mereka, selepas itu (menggodam), pihak terbabit boleh jual sistem perlindungan atau ‘firewall’ yang lain pula. Oleh itu kita perlu lihat perspektif mana yang kita mahu,” katanya pada program Hari Kesedaran Satelit Kompleks Haigate ATM, di sini, tadi.
Turut hadir Ketua Staf Markas ATM ke-19, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), Adnan Ismail.
Menurutnya lagi, pihaknya masih berusaha untuk mengenal pasti mereka yang terbabit namun kekangan teknologi yang pesat membangun turut menjadi halangan.
“Teknologi yang ada hari ini cukup hebat. Penggodam ini mungkin menggunakan alamat protokol internet (IP) tertentu tetapi kemungkinan IP itu betul atau tidak kita tidak boleh kenal pasti dengan mudah.
“Ia boleh dikaburkan dari mana asal sebenar IP itu malah kita mungkin sukar mengenalpasti asalnya dari negara mana. Tetapi ia ada namun dikaburkan untuk mengancam sesebuah negara.
“Kita tidak bertindak ketika krisis itu terjadi sebaliknya usaha dilakukan sepanjang masa termasuklah memperkuatkan ‘firewall’ kita. Pelan tindakan yang dilaksanakan ATM sentiasa ada,” katanya.
Terdahulu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata kegiatan penggodam berjaya dikesan awal dan tindakan pencegahan sudah dilaksanakan sewajarnya.
Bagaimanapun, ATM mengesahkan keseluruhan rangkaian komunikasinya yang terdedah kepada capaian internet, kekal selamat.
Modus operandi yang dikesan ialah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM.
METRO