Tyson hadapi tuduhan rogol
NEW YORK: Seorang wanita di New York memfailkan saman sivil ke atas Mike Tyson, mendakwa bekas juara tinju itu merogolnya di dalam limosin pada awal 1990-an.
Wanita berkenaan, yang meminta mahkamah merahsiakan namanya, membuat laporan pada awal Januari.
Tyson pernah dipenjarakan tiga tahun bermula dari tahun 1992 selepas didapati bersalah merogol seorang model, Desiree Washington yang berusia 18 tahun ketika itu.
Dalam afidavit ringkas bertarikh 23 Disember 2022, plaintif mendakwa yang dia bertemu petinju itu di sebuah kelab malam ‘di awal 1990-an’, dan kemudian mengikutinya ke dalam limosin, di mana dia dikasari sebelum dirogol.
“Akibat tindakan Tyson merogol saya, saya mengalami kecederaan fizikal, psikologi dan emosi,” kata wanita berkenaan.
Dia meminta pampasan bernilai AS$5 juta (RM21.36 juta).
AFP