Liverpool tersingkir Piala FA

Brighton: Pemain pertahanan Liverpool, Andrew Robertson berkata, “musim ini kami langsung tidak cukup bagus” selepas penyandang juara itu tersingkir daripada Piala FA di tangan Brighton, malam tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp tewas 1-2 pada pusingan keempat di Stadium Amex walaupun mendahului menerusi Harvey Elliott.

Lewis Dunk menyamakan kedudukan selepas rehat dan penyudah baik Kaoru Mitoma pada penghujung aksi membolehkan skuad Seagulls mara ke pusingan kelima.



Liverpool yang hampir mencipta sejarah memenangi empat gelaran musim lalu, sudah tersingkir daripada Piala Liga dan kini menduduki tempat kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Robertson berkata, keputusan itu sangat mengecewakan.

“Di kelab seperti Liverpool, penyokong ada jangkaan tinggi dan tewas menerusi gol pada minit terakhir permainan amatlah mengecewakan,” katanya kepada ITV.



“Kami perlu mula menang perlawanan. Ia mudah untuk dikata, tetapi sukar memperbaikinya.

“Musim ini kami langsung tidak cukup bagus. Pada permulaan tahun kami mahukan permulaan yang bagus, tetapi ia tidak berlaku. Kami menjadi semakin buruk. Dalam liga kami tidak bagus dan kini kami tersingkir daripada perebutan kedua-dua piala.

“Anda tidak boleh menyalahkan sesuatu perkara, ia lebih daripada itu. Anda boleh kata kami tidak yakin di depan gol dan di pertahanan kami agak terbuka. Kami ada dua perlawanan tanpa bolos sebelum ini, tetapi kemudiannya melepaskan dua gol.”

Pemain antarabangsa Scotland itu berkata, pasukan perlu mendapatkan kembali keyakinan sambil menambah mereka sekali lagi mengecewakan penyokong.



Liverpool tewas 0-3 0 kepada Brighton pada aksi EPL awal bulan ini yang digambarkan Klopp sebagai ‘persembahan mengerikan.’

Bos Liverpool itu turut tidak gembira dengan persembahan malam tadi.

“Kami berada di sini selepas perlawanan beberapa minggu lalu yang menunjukkan kami bukanlah seperti dimahukan,” katanya kepada BBC.

“Hari ini kami bermain lebih baik tetapi melepaskan dua gol daripada situasi bola mati dan ia sepatutnya tidak boleh dibiarkan.”



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button