Kelonggaran kod pakaian wajar jika kes kecemasan ‘hidup dan mati” – KPN
KUALA LUMPUR: Kelonggaran kod etika pemakaian bagi orang awam yang mahu membuat aduan atau sebarang urusan lain di balai polis, hanya wajar diberikan jika membabitkan kes kecemasan serius seperti ‘hidup dan mati’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sekiranya tidak membabitkan kes kecemasan seumpamanya, semua pihak perlu akur pada kod etika berpakaian itu yang selaras dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.
Tegasnya, tatacara pemakaian yang ditetapkan kerajaan itu bukan khusus kepada balai polis semata-mata, sebaliknya terpakai untuk semua pihak yang mahu berurusan di mana-mana premis kerajaan.
“Dalam arahan Ketua Setiausaha Negara, memang ada arahan tatacara berpakaian apabila berurusan di pejabat kerajaan, dan kemudian ketua jabatan atau agensi masing-masing, dengan budi bicara, akan tentukan bentuk tatacara yang dibenarkan.
“Dalam keadaan kecemasan, bolehlah buat kelonggaran, (tetapi) tengok apa bentuk kecemasan itu, sama ada berkait dengan hidup mati atau boleh diberikan sedikit kelonggaran dan seumpamanya.
“Namun, dalam Rukun Negara ada satu prinsip iaitu kesopanan dan kesusilaan, di mana saya percaya kita harus fahami apa erti prinsip ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program ‘Hiking’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Acryl Sani mengulas mengenai insiden seorang wanita yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Isnin lalu untuk membuat laporan mengenai insiden nahas jalan raya, tidak dibenarkan masuk kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata, anggota pengawal bertugas tidak membenarkan wanita berusia 30-an itu masuk ke IPD Kajang selepas mendapati wanita terbabit memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut).
Wanita itu kemudian dinasihati memakai pakaian bersesuaian jika mahu berurusan di premis kerajaan, namun tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan serta memprovokasi anggota bertugas.
Anggota terbabit sekali lagi menasihatinya menukar seluar yang lebih bersesuaian jika ingin berurusan di balai polis, sebelum wanita itu akhirnya akur dan kembali semula ke IPD Kajang kira-kira 15 hingga 20 minit kemudian bersama dua rakannya, dengan memakai seluar panjang.
Mengulas insiden berkenaan, Acryl Sani tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham antara pengadu dan anggota bertugas, namun beliau menegaskan keperluan orang awam memahami tatacara berpakaian yang terpakai di semua premis kerajaan.
“Mungkin berlaku salah faham antara orang awam dan anggota yang bertugas, namun kita pun ada prinsip Rukun Negara kelima, kesopanan dan kesusilaan.
“Ini (tatacara berpakaian) nak tunjukkan bahawa pejabat kerajaan adalah tempat orang berurusan dalam keadaan yang tertib dan bersopan dan mempertahankan kesusilaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai keputusan Kabinet meluluskan kebenaran penjualan mercun dan bunga api, Acryl Sani memaklumkan pihaknya baru dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
“Saya baru tahu perkara ini dan saya tunggu apa dasar daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPT) berhubung pelaksaan perkara ini,” katanya.
BHOnline