Kanak-kanak 12 tahun diselamatkan selepas 40 jam gempa bumi di Turkiye
ELAZIG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan, 40 jam selepas dua gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye.
Kanak-kanak bernama Aysima itu diselamatkan anggota pasukan penyelamat di Malatya, satu daripada wilayah yang dilanda bencana berkenaan.
Asyima kemudian dihantar ke hospital terdekat dengan dilaporkan mengalami beberapa kecederaan.
Jumlah kematian akibat gempa bumi pada Isnin lalu meningkat kepada 4,544 orang, kata seorang pegawai agensi bencana, semalam.
Gempa bumi itu turut dirasai di beberapa negara di rantau itu, termasuk Lubnan dan Syria.
Di Syria, ahli keluarga berusaha mengeluarkan bayi perempuan yang tali pusat masih melekat dengan ibunya yang sudah meninggal dunia dalam tragedi gempa bumi awal pagi kelmarin.
Bayi yang terperangkap di bawah timbunan bangunan runtuh akibat gempa buruk di utara negara itu dikeluarkan hidup-hidup meskipun ibunya meninggal dunia.
Menurut Khalil al-Suwadi, bayi itu adalah satu-satunya keluarga terdekatnya yang terselamat, sementara yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda Syria serta negara jiran Turkiye hingga meranapkan rumah keluarganya di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak.
“Kami terdengar suara ketika sedang menggali (runtuhan bangunan).
AGENSI