Bayern hanya pandang Liga Juara-Juara
BERLIN: Bayern Munich akan berkunjung ke Paris Saint-Germain pada aksi pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini menyedari kekalahan dalam pertembungan itu akan memberikan kegagalan buat mereka walaupun cemerlang pada saingan domestik.
Selepas memberikan Bochum kekalahan Sabtu lalu di laman sendiri, pengurus Bayern, Julian Nagelsmann masih kecewa ketika mengemudi pasukannya ke persada Bundesliga dengan kemenangan selesa 3-0.
“Tidak banyak pergerakan” kata pengendali berusia 35 tahun itu dan menegaskan “Jika kami bermain seperti itu pada Selasa, kami tidak akan pergi jauh (dalam Liga Juara-Juara).”
Nagelsmann juga memberikan amaran kepada kesebelasan utamanya pada Sabtu apabila berkata pasukannya “hanya lebih baik selepas minit ke-60 apabila pemain simpanan membawa momentum lebih segar.”
“Ketika itu barulah kami mendapat keputusan, bukan sebelum itu. Kami perlu meningkat sebelum Selasa.”
Realiti sebagai kelab super menyebabkan kejayaan domestik dipandang remeh oleh Nagelsmann – sama seperti rakan sejawatannya di PSG, Christophe Galtier.
Ramai pengurus lain ditunjukkan jalan keluar dari Bayern kerana gagal melakukannya.
Niko Kovac dipecat setahun selepas menang berganda dalam liga dan masih beraksi dalam Liga Juara-Juara – Bayern akhirnya merangkul trofi berkenaan setahun kemudian di bawah Hansi Flick.
Malah nama besar di Eropah, Carlo Ancelotti juga dipecat Bayern selepas kelab itu tewas 3-0 di PSG pada 2017 – dan itu hanya pada peringkat kumpulan.
Walaupun menang gelaran ke-10 berturut-turut pada 2021-22, musim Bayern dilihat sebagai gagal kerana tersingkir mengejut pada suku akhir Liga Juara-Juara di tangan Villarreal.
Nagelsmann, pada musim pertamanya ketika itu di Bayern, mungkin tidak dipersalahkan sepenuhnya, namun situasi itu pastinya berbeza jika pasukannya tersingkir pada kelompok 16 terakhir kali ini tanpa mengira siapa lawan mereka.
Bayern bergelut sejak liga bersambung berikutan rehat musim sejuk apabila tiga seri 1-1 berturut-turut membolehkan Union Berlin mengurangkan kelebihan mereka di persada kepada satu mata.
Bagaimanapun Nagelsmann terus mengekalkan fokus untuk berdepan lawan dari perancis itu.
AFP