Messi, Putellas menang anugerah terbaik FIFA

PARIS: Lionel Messi memenangi anugerah pemain lelaki terbaik FIFA 2022 susulan kejayaannya menjuarai Piala Dunia bersama Argentina, manakala Alexia Putellas dari Sepanyol mengekalkan gelaran pemain terbaik wanita.

Messi menewaskan rakan sepasukan Paris Saint-Germain dan pesaing final Piala Dunia dari Perancis, Kylian Mbappe dengan pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema seorang lagi calon untuk anugerah berkenaan.

Ia adalah kali kedua Messi memenangi anugerah yang diperkenalkan FIFA pada tahun 2016 selepas badan induk bola sepak dunia itu menamatkan kerjasama dengan penganjur Ballon d’Or, France Football.



Anugerah yang dihakimi oleh kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan, wartawan serta peminat itu, menobatkan Messi sebagai pemenang selepas bekas bintang Barcelona itu melengkapkan karier gemilangnya dengan kejayaan di Piala Dunia tahun lalu.

Messi meledak dua kali dalam aksi final di Doha ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti, walaupun Mbappe menjaringkan hatrik untuk Les Bleus bagi mengikat kedudukan 3-3.

Dia turut meraih Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, mengatasi Mbappe yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, satu mengatasi Messi.



“Tahun ini cukup gila buat saya, mencapai impian saya yang saya perjuangkan selama ini. Akhirnya saya berjaya meraihnya dan ia perkara paling indah dalam karier saya.

“Ia adalah impian setiap pemain bola sepak tetapi hanya sedikit yang mampu merealisasikannya,” kata Messi selepas menerima anugerah berkenaan.

Sementara itu, Putellas mengekalkan anugerah untuk kategori wanita walaupun tidak beraksi sepenuhnya musim lalu akibat kecederaan.



Kejayaan Argentina di Piala Dunia Qatar turut menobatkan Lionel Scaloni sebagai jurulatih terbaik pasukan lelaki dan Emiliano Martinez memenangi anugerah penjaga gol lelaki terbaik.

Pengendali skuad wanita England yang memenangi Kejuaraan Eropah, Sarina Wiegman dari Belanda meraih anugerah jurulatih terbaik wanita manakala Mary Earps dinobatkan penjagol gol wanita terbaik.

Pemain Poland, Marcin Oleksy yang kudung sebelah kaki, mengungguli Anugerah Puskas untuk gol terbaik sepanjang tahun lalu.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button