Mangsa banjir menggigil atas bumbung
Segamat: Enam beranak terpaksa menggunakan media sosial bagi meminta pertolongan diselamatkan selepas terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung selepas rumah di Jalan Sidek, Kampung Jawa, Chaah di sini dilanda banjir pagi ini.
Azizah Bani, 53, membuat siaran langsung di akaun Facebook miliknya ketika dia dan suami, abang serta tiga anaknya berlindung di atas bumbung rumahnya pada 8 pagi apabila air naik dengan mendadak.
“Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini.
“Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera. Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.
“Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya Azizah ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azizah, dia menghubungi pihak berkuasa serta talian kecemasan 999 beberapa kali bagi memohon bantuan diselamatkan segera dan diberitahu bantuan sedang dijalankan memandangkan bandar Labis turut terjejas teruk akibat banjir.
Sementara itu, difahamkan pihak berkuasa menerima beberapa laporan mangsa banjir yang terperangkap di atas bumbung rumah.
Misi menyelamatkan sedang dijalankan oleh pihak berwajib memandangkan mangsa banjir yang terperangkap meningkat dengan keadaan cuaca yang kian memburuk.
METRO