Lebih separuh penduduk dunia alami obesiti menjelang 2035

LONDON: Lebih separuh daripada penduduk dunia akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2035 tanpa tindakan ketara, menurut satu laporan baharu.

Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2023 meramalkan 51 peratus daripada penduduk dunia atau lebih empat bilion orang akan mengalami obesiti atau berat badan berlebihan dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Laporan itu mendapati kadar obesiti meningkat dengan cepat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan di negara berpendapatan rendah.



Menyifatkan data itu sebagai “amaran jelas”, Presiden Persekutuan Obesiti Dunia, Louise Baur, berkata bahawa penggubal dasar perlu bertindak sekarang untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.

“Amat membimbangkan untuk melihat kadar obesiti meningkat paling cepat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Kerajaan dan penggubal dasar di seluruh dunia perlu melakukan semua yang mereka mampu untuk mengelak menyalurkan kos kesihatan, sosial dan ekonomi kepada generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.



Laporan itu mendapati obesiti kanak-kanak boleh lebih daripada dua kali ganda daripada paras 2020, kepada 208 juta lelaki dan 175 juta perempuan menjelang 2035.

Kos ditanggung masyarakat adalah penting akibat keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan berat badan berlebihan yang menurut persekutuan lebih AS$4 trilion setiap tahun menjelang 2035, atau tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Walau bagaimanapun, penulis berkata mereka tidak menyalahkan individu, tetapi menyeru tumpuan kepada faktor masyarakat, alam sekitar dan biologi yang terlibat dalam keadaan itu.

Laporan itu menggunakan indeks jisim badan (BMI) untuk penilaiannya, nombor yang dikira dengan membahagikan berat badan seseorang dalam kilogram dengan ketinggian mereka.



Selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, skor BMI melebihi 25 adalah berat badan berlebihan dan lebih 30 adalah obes.

Pada 2020, 2.6 bilion orang termasuk dalam kategori ini, atau 38 peratus daripada populasi dunia.

Laporan itu juga mendapati bahawa hampir semua negara yang dijangka menyaksikan peningkatan terbesar dalam obesiti pada tahun-tahun akan datang adalah negara berpendapatan rendah atau sederhana di Asia dan Afrika.

Data itu akan dibentangkan kepada penggubal dasar dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu depan.



REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button